fbpx

Nelayan ditemui mati selepas dua hari terjatuh dari bot

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mayat Ng Choon Lee dibawa ke Jeti Pengkalan Polis Marin Kuala Kurau setelah di jumpai terapung di laut oleh nelayan tempatan.- Foto oleh WAT KAMAL ABAS

PARIT BUNTAR – Seorang nelayan yang dilaporkan hilang selepas terjatuh dari bot ketika dalam perjalanan pulang dari menangkap ikan kelmarin ditemui meninggal dunia hari ini.

Timbalan Pengarah Operasi Zon Maritim Kuala Kurau, Leftenan Maritim Mohd. Faiz Sejari berkata, mayat mangsa, Ng Choon Lee, 62, ditemui nelayan di kedudukan 15 batu nautika barat Tanjung Piandang dekat sini dalam keadaan terapung sekitar jam 11.00 pagi.

“Mayat mangsa ditemui sekumpulan nelayan yang turut sama dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) kira-kira 15 batu nautika dari lokasi mangsa dilaporkan terjatuh.

“Kita menyerahkan mayat tersebut kepada pihak polis untuk tindakan lanjut dan operasi yang memasuki hari ketiga ini ditamatkan pada pukul 12.30 tengah hari,” katanya ketika ditemui pemberita di Jeti Pengkalan Polis Marin Kuala Kurau.

Sabtu lalu, mangsa dilaporkan hilang di Perairan Kuala Kurau selepas dipercayai terjatuh dari bot yang dinaiki bersama dua rakan termasuk tekong.

Tambah Mohd. Faiz, seramai 30 anggota daripada Maritim Malaysia (APMM), Polis Marin dan Jabatan Perikanan terlibat dalam pasukan SAR selain turut dibantu 20 bot nelayan dari Persatuan Nelayan Tanjung Piandang.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Perladangan dan Industri Makanan Perak, Razman Zakaria menasihatkan komuniti nelayan agar segera melaporkan kepada pihak berkuasa sekiranya menemui jasad manusia di laut.

Katanya, ia akan memudahkan urusan waris atau pihak berkuasa dalam menjalankan siasatan berhubung sebarang laporan kehilangan.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Mazuki Mat memaklumkan mayat mangsa dibawa ke Hospital Parit Buntar untuk proses bedah siasat. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI