fbpx
Saarani (hadapan, tengah) bergambar bersama penghantar makanan selepas Majlis Pecah Tanah Pembinaan Projek 3R di Ipoh hari ini.

MBI bina tempat rehat dan rawat untuk rider

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH – Tujuh buah tempat rehat dan rawat rider (3R) akan dibina di lokasi-lokasi terpilih yang dikhususkan untuk pekerja-pekerja perkhidmatan penghantaran makanan di bandar raya ini.

Lokasi tersebut ialah di pusat bandar berhadapan Ipoh Parade, Meru Raya (berhadapan McDonalds Meru Raya), Jelapang (berhadapan Old Town White Coffee Pusat Komersial Jelapang) dan Tasek (berhadapan Pizza Hut & KFC Pusat Perdagangan Tasek).

Kawasan lain iaitu di Ipoh Garden di kawasan lapang berhampiran Tesco Ipoh Garden, Medan Gopeng (berhadapan McDonalds dan StarBucks Coffee) dan Station 18 (kawasan lapang tempat letak kereta berhampiran Tesco).

Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin berkata, pembinaan tempat 3R untuk kegunaan pekerja-pekerja perkhidmatan penghantaran makanan itu juga adalah yang pertama seumpamanya di negara ini.

Menurutnya, inisiatif Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) itu adalah untuk menyediakan satu ruang khusus yang selesa kepada petugas-petugas tersebut selain sebagai penghargaan terhadap peranan mereka sebagai pekerja barisan hadapan.

“Objektif projek ini adalah untuk memberi kemudahan tempat letak kenderaan, ruang rehat, tandas dan ruang solat kepada pekerja-pekerja perkhidmatan penghantaran makanan di sekitar bandaraya Ipoh.

“Pelaksanaan projek melibatkan peruntukan sebanyak RM500,000 ini akan memberi manfaat kepada lebih 1,600 pekerja dalam bidang berkenaan,” ujarnya.

Terdahulu, majlis pecah tanah pembinaan projek 3R pertama di pusat bandar berhadapan Ipoh Parade telah disempurnakan oleh Menteri Besar, Datuk Saarani Mohamad. – K!ONLINE