PETALING JAYA – Keindahan berpuluh kawasan pantai di beberapa negeri yang dahulunya menjadi tumpuan dan tarikan pelancong kini lenyap apabila dihakis sedikit demi sedikit sehingga ada kampung yang hilang akibat ‘ditelan’ fenomena alam itu.
Situasi itu bukan sahaja menjejaskan sektor pelancongan setempat, malah turut mengancam kehidupan penduduk sekitar.
Antara negeri yang terkesan ialah Pahang, Terengganu, Kelantan, Selangor dan Johor.
Di Pahang, sebanyak 10 pantai dikesan semakin lenyap akibat hakisan kritikal seperti Pantai Cherating, Teluk Cempedak, Tanjung Batu, Kempadang, Gelora, Balok, Cherok Paloh, Juara (Pulau Tioman), Tanjung Pahang (Rompin) dan Nenasi (Pekan).
Keadaan itu sekali gus melenyapkan keindahan pantai selain menjejaskan ekosistem alam.
Pengerusi Jawatan Kuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi Pahang, Datuk Seri Mohd. Sharkar Shamsudin berkata, kadar hakisan tertinggi dicatatkan ialah di Pantai Balik iaitu 17.3 meter sepanjang 1.2 kilometer (km).
Katanya, Pantai Nenasi, Pekan pula paling rendah iaitu 4.2 meter sejauh 1.7 km.

“Masalah hakisan di pantai Pahang agak serius dan kita sedang berusaha bersungguh-sungguh untuk memulihara semula kawasan terbabit.
“Untuk itu, kita memperuntukkan RM10 juta bagi membina struktur kawalan hakisan sepanjang satu kilometer dengan bantuan Kerajaan Persekutuan,” katanya.
Tambah beliau, hakisan bukan sahaja memberi kesan kepada alam sekitar, tetapi turut menjejaskan sektor pelancongan di Pahang.
Menurut Mohd. Sharkar, antara usaha yang dilakukan ialah pembinaan benteng pemecah ombak bagi mengurangkan kesan hakisan di semua kawasan pesisir pantai Pahang.
Di Terengganu, beberapa pantai popular di negeri ini turut terancam apabila 30 kawasan dikenal pasti mengalami hakisan serius sepanjang 244km.
Antara pantai yang terjejas teruk ialah Pantai Teluk Lipat, Dungun; Pantai Rhu Rendang, Pantai Rusila, Pantai Rhu Renggeh dan Pantai Rhu Dua, Marang dan Pantai Kuala Nerus.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti Dan Teknologi Hijau Terengganu, Dr. Mamad Puteh berkata, sebanyak 13 pantai di negeri itu dikategorikan sebagai paling teruk terhakis dengan kehilangan garis pantai lebih empat meter setahun.
Beliau berkata, sebanyak tujuh pantai di negeri ini pula terhakis antara satu meter hingga empat meter setahun, manakala pantai yang terhakis kurang satu meter setahun pula ada 10 kawasan,” katanya.
Mamad berkata, hakisan di Pantai Teluk Lipat yang melebihi empat meter setahun telah memberi ancaman kepada Hotel Universiti Teknologi Mara dan Kelab Golf Dungun selain sekolah, resort dan gerai jualan.
Tambah beliau, hakisan di pantai berkenaan pada awal tahun ini makin memburuk sehingga menyebabkan sebahagian jalan Pantai Sura runtuh.
“Pantai Rusila juga terhakis terus dengan kehilangan lebar pantai kira-kira 100 meter dalam tempoh 30 tahun.
“Pantai Kuala Nerus mengalami hakisan antara 10 meter hingga 20 meter setahun pada setiap kali musim tengkujuh,” katanya.
Tambah beliau, sebanyak RM213.17 juta diluluskan untuk membaiki hakisan di Pantai Teluk Lipat, Rusila dan Kuala Nerus yang dijangka siap sepenuhnya pada Ogos 2022.














