fbpx

Lima pindaan Akta 342, lima peruntukan baharu dimasukkan dalam Ordinan Darurat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PUTRAJAYA – Kerajaan hari ini memutuskan untuk membuat lima pindaan bagi Akta 342 bagi meningkatkan keberkesanan penguatkuasaan membendung pandemik Covid-19.

Pada masa sama, kerajaan juga memasukkan lima peruntukan baharu bagi Ordinan Darurat (Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit) (Pindaan) 2021 berkuat kuasa 11 Mac ini.

Pindaan akta dan tambahan peruntukan Ordinan itu ditandatangani bersama oleh Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, semalam.

Menerusi satu kenyataan akhbar bersama,  penguatkuasaan undang-undang sepanjang tempoh wabak memainkan peranan penting dalam melancarkan pelaksanaan aktiviti  kawalan dan pencegahan penularan jangkitan Covid-19 di dalam negara.

“Sehubungan itu, kerajaan menyeru orang ramai agar sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan arahan yang dikeluarkan kerajaan bagi mengelakkan dikenakan  tindakan undang-undang.

“Kerajaan mengambil berat dan amat komited kepada usaha berterusan untuk mencegah dan mengawal penularan wabak Covid-19,” katanya.

Kenyataan itu berkata, secara keseluruhan, 10 peruntukan merangkumi lima pindaan peruntukan sedia ada dalam Akta 342 dan lima peruntukan baharu dimasukkan ke dalam Ordinan Darurat (Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit) (Pindaan) 2021.

Jelasnya lagi, pindaan dan tambahan peruntukan ordinan itu dibuat kerana terdapat keperluan segera semasa Proklamasi Darurat yang mana mengambil masa jika melalui proses biasa sidang Parlimen.

Pindaan bagi Akta 342 membabitkan Seksyen 2 (1) –  Tafsiran pegawai diberi kuasa; Seksyen 2(1) –  Tafsiran Pegawai Kesihatan Persekitaran; Seksyen 10 – Kehendak supaya memberitahu tentang penyakit berjangkit; Seksyen 15A – Perintah bagi memakai peranti pengesanan dan Seksyen 21A – Arahan Ketua Pengarah.

Manakala, bagi peruntukan baharu di bawah Ordinan Darurat termasuk Bahagian IVA Penguatkuasaan; Seksyen 22A – Kesalahan oleh pertubuhan perbadanan; Seksyen 24 – Penalti am; Seksyen 25 – Pengkompaunan kesalahan dan Seksyen 31 – Kuasa membuat peraturan-peraturan. – K! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI