fbpx

Ketaksuban pasti membawa padah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN
AZIMI MUSTAPHA, PENGARANG BERITA KOSMO.

DALAM menjalani kehidupan seharian, sesetengah daripada kita tidak dapat lari daripada terpengaruh atau menyukai sesuatu yang kadangkala dijadikan sumber rujukan dan ikutan sebagai panduan hidup.

Sungguhpun begitu, biar banyak mana pun menyukai sesuatu, jangan sampai kita menjadi begitu taksub hingga menidakkan kebenaran yang ada di depan mata dan sekeliling kita.

Ketaksuban dengan sesuatu perkara menjadikan mata dan akal fikiran kita seolah-olah tertutup untuk menerima pandangan orang lain yang ada ketikanya berada pada landasan betul.

Islam sendiri pun meminta umatnya bersederhana dan tidak melebih-lebih dalam semua perkara termasuk urusan seharian, beribadat dan sebagainya, selain perlu ada keseimbangan supaya kedua-dua tuntutan dunia dan akhirat dapat disempurnakan sebaiknya.

Tidak boleh ditumpukan kepada keperluan hidup di dunia semata-mata sehingga terlupa untuk mencari keperluan hidup di akhirat.

Sejarah membuktikan banyak peristiwa ngeri dan menakutkan berlaku ekoran pengikut begitu taksub dengan pemimpin yang mengaku konon-kononnya muncul sebagai penyelamat dunia.

Sebagai contoh, serangan gas sarin yang dilakukan pengikut pergerakan kultus Aum Shinrikyo diketuai Shoko Asahara di laluan kereta api bawah tanah di Tokyo, Jepun pada 20 Mac 1995.

Akibat percaya secara membabi-buta pemimpin ‘gila’ ini, seramai 13 orang terkorban dan mencederakan ribuan jiwa.

Di Malaysia sendiri, banyak kes taksub kepada pemimpin kumpulan tertentu terutamanya melibatkan ajaran sesat mengundang padah bukan sahaja kepada mereka sendiri, malahan masyarakat turut menerima tempiasnya.

Dalam hal berkaitan, anak-anak muda negara ini, terutamanya remaja begitu banyak menjadikan golongan artis tidak kira penyanyi atau pelakon sama ada tempatan atau luar negara sebagai idola mereka dan mengikuti dengan rapat perkembangan orang yang mereka puja itu.

Dengan perkembangan pesat media sosial seperti Facebook, Instagram, Twitter dan sebagainya memudahkan mereka mengikuti setiap apa yang dilakukan oleh individu atau kumpulan yang mereka sayangi itu.

Sayang seribu kali sayang, ada dalam kalangan peminat atau pengikut tersebut yang begitu taksub seolah-olah idola mereka itu begitu sempurna dan tidak boleh ‘disentuh’ atau dikritik langsung.

Mana-mana individu yang berani berbuat demikian pasti akan menerima serangan bertubi-tubi di laman sosial tanpa belas ihsan dan usul periksa duduk perkara sebenar dari segenap penjuru oleh ‘tentera semut’ terdiri daripada peminat setia kononnya.

Dalam hal ini, nilai murni dan adab sopan sebagai orang Timur hilang begitu sahaja demi mempertahankan seseorang yang pada asasnya tidak ambil pusing pun kepada mereka yang beria-ia menjadikannya idola.-K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI