fbpx

Peniaga, pekebun jadi buruan scammer

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

IPOH – Sikap mahu cepat kaya dalam kalangan peniaga dan pekebun di negeri ini menyebabkan golongan berkenaan menjadi mangsa penipuan Macau Scam sehingga menyebabkan kerugian mencecah jutaan ringgit sepanjang tahun lalu.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, daripada 341 kes yang dilaporkan, seramai 179 mangsa melibatkan golongan peniaga dan pekebun membabitkan golongan berusia antara 18 hingga 45 tahun Katanya, seramai 110 kes membabitkan kakitangan kerajaan, manakala 52 lagi penjawat awam. Keseluruhan jumlah kerugian dicatatkan lebih RM16.5 juta.

“Seorang kontraktor di Batu Gajah mengalami kerugian lebih RM107,000 selepas ditipu sindiket yang menyamar sebagai pegawai Bank Negara. Mangsa dimaklumkan mempunyai hutang kad kredit dengan sebuah bank.

“Selain itu, ada laporan yang diterima mengatakan mereka terpengaruh dengan sistem khidmat pesanan ringkas (SMS) berantai yang menawarkan hadiah lumayan mencecah jutaan ringgit.

“Sikap tamak merekalah yang menjadi antara salah satu punca sindiket Macau Scam berjaya memujuk mangsa menyerahkan wang,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

MIOR FARIDALATHRASH

Mengulas lanjut, kata Mior Faridalathrash, pada Januari tahun ini, sebanyak 26 kes telah direkodkan melibatkan kerugian RM496,899.30.

Menurutnya, modus operandi yang dijalankan scammer adalah sama iaitu menyamar sebagai pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri, pihak polis dan pegawai Bank Negara semata-mata untuk meyakinkan mangsa bahawa mereka melakukan kesalahan.

“Mereka (scammer) akan memujuk mangsa untuk menyerahkan wang bagi menutup kes yang kononnya dilakukan mereka.

“Jangan layan panggilan tersebut lebih-lebih lagi apabila ada yang minta maklumat berkaitan bank termasuk nombor TAC,” ujarnya.

Mengulas lanjut, katanya, polis bimbang sekiranya sikap sambil lewa masyarakat terhadap penipuan Macau Scam, tipu urus niaga dan pinjaman yang tidak wujud menyebabkan lebih ramai mangsa.

“Trend pembelian dalam talian meningkat ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan akibat Covid-19,” katanya.

Menurutnya, kes penipuan dan penyelewengan berkaitan urusan jual beli membabitkan kerugian sebanyak RM52.6 juta pada tahun lalu dengan 1,919 kes termasuk RM16.5 juta yang dilakukan Macau Scam.

“Ia merupakan peningkatan 95 kes penipuan atau 5.2 peratus secara keseluruhan berbanding tahun 2019,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI