fbpx

Program Imunisasi Covid-19 bermula hari ini di Pulau Pinang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KON Yeow menunjukkan kad vaksinnya selepas menerima suntikan di HPP, George Town hari ini.

GEORGE TOWN – Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow menjadi antara individu terawal di negeri ini menerima dos vaksin Covid-19 selepas mendapat suntikan di Hospital Pulau Pinang di sini hari ini.

Kon Yeow menerima suntikan vaksin Pfizer-BioNTech kira-kira pukul 10.25 pagi oleh penyelia jururawat Hospital Pulau Pinang (HPP), Matron Hafizah Hamzah sebagai simbolik kepada pelancaran Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan peringkat negeri yang bermula hari ini.

Kon Yeow berkata, suntikan yang diterimanya berjalan lancar, malah tidak mengalami sebarang perubahan kesihatan atau berasa sakit selepas 15 minit.

“Jadi saya harap pengalaman ini dapat meyakinkan seluruh penduduk Pulau Pinang untuk bersedia menerima suntikan vaksin ini kelak dan segera mendaftar menerusi aplikasi MySejahtera,” katanya kepada pemberita sejurus menerima suntikan.

Selain Kon Yeow, 12 individu lain yang menerima vaksin hari ini ialah dua Timbalannya, Datuk Ir. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman dan Dr. P. Ramasamy.

Turut menerima suntikan ialah Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Abdul Razak Jaafar; Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr. Asmayani Khalib; Ketua Polis negeri, Datuk Sahabudin Abd. Manan serta enam petugas kesihatan.

Dalam pada itu Kon Yeow berkata, beliau berharap program suntikan vaksin fasa pertama melibatkan seramai 31,000 petugas barisan hadapan di negeri ini dapat disempurnakan dan berjalan lancar dalam tempoh tiga bulan.

Ujarnya, negeri ini akan menerima lima lagi penghantaran vaksin dalam masa terdekat sebagai dos kedua kepada 31,000 penerima fasa pertama yang perlu disuntik dalam tempoh 21 hari.

Sementara itu, menurut Dr. Asmayani, seramai 318 petugas barisan hadapan di negeri ini sudah menerima suntikan vaksin itu minggu lalu termasuk 54 pemvaksin.

Ujarnya, bagi fasa pertama pemberian vaksin itu, tumpuan diberikan kepada petugas barisan hadapan terdiri daripada kumpulan perubatan dan bukan perubatan dalam memastikan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan berjalan lancar. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI