fbpx
GAMBAR HIASAN

Cipta jaguh e-Sukan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
MUHAMMAD ZUHAILY BADLISHAH, WARTAWAN EKSEKUTIF

KECEMERLANGAN pemain-pemain sukan elektronik (e-Sukan) negara wajar dipuji kerana pencapaian mereka secara tidak langsung berjaya mengangkat martabat Malaysia di peringkat antarabangsa.

Apa tidaknya, Malaysia kini mempunyai ramai wakil bersaing di peringkat tertinggi e-Sukan sebagai contoh dua pasukan negara berjaya melayakkan diri ke pentas Piala Dunia Kelab eFIFA bulan ini.

Pengiktirafan itu hadir menerusi kejayaan GBX Esports Team menerusi Muhammad Luqman Haziq Hajiman dan Ahmad Shahrin Shaharudin selain Muhammad Naim Muhammad Hisham serta Faiq Iskandar Saiful Bahri yang mewakili Wicked Esports.

Empat anak Malaysia itu kini mampu berdiri sebaris dengan jaguh-jaguh handalan dunia dalam permainan video FIFA di kala seluruh peminat bola sepak negara masih menantikan penyertaan Harimau Malaya di peringkat tertinggi seperti Piala Dunia.

Turut membanggakan Malaysia apabila dua pengulas e-Sukan negara, Muhammad Hafiz Sudin dan Matthews Izzac terpilih untuk memberikan ulasan sepanjang saingan Piala Dunia Kelab eFIFA baru-baru ini.

Sebenarnya, tahap kompetitif pemain-pemain e-Sukan negara bagi permainan video FIFA sememangnya sudah berkelas antarabangsa kerana turut mempunyai wakil berentap pada saingan Virtual Pro Gaming (VPG) Piala Dunia 2021 bulan depan.

Pengurus skuad VPG Malaysia, Amirul Ashraf Hassan Nordin menyifatkan dunia kini sudah mula membuka mata terhadap pencapaian Malaysia selepas Arab Saudi dan Jepun.

“Kejayaan kami bukan bergantung kepada nasib kerana kami meraihnya selepas menewaskan negara-negara hebat dari benua Asia.

“Ia membuktikan pemain Malaysia sebenarnya sudah mampu mencapai tahap membanggakan kerana berpeluang mencabar di Piala Dunia nanti,” katanya.

Kejayaan VPG Malaysia tidak terhenti di situ apabila kini giliran pasukan kelab dari Malaysia pula ditabalkan sebagai juara Asia menerusi pencapaian hebat Klasiko Esports menjuarai saingan VPG
Liga Juara-Juara Asia.

Selain bola sepak, Malaysia juga masih mempunyai ramai pemain-pemain hebat dalam kategori permainan video lain seperti Mobile Legends, PlayerUnknown’s Battlegrounds (PUBG) Mobile, Dota 2 dan Counter Strike: Global Offensive (CS:GO).

Contohnya, Team Secret berjaya membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah AS$17,000 (RM68,671) hasil kejayaan meraih tempat ketujuh daripada keseluruhan 16 pasukan pada Kejohanan Dunia PUBG Mobile di Dubai, Emiriyah Arab Bersatu bulan lepas.

Penyertaan Todak MLBB pada Kejohanan Dunia M2 Mobile Legends di Singapura bulan lalu juga sesuatu yang amat membanggakan.

Ketua Komunikasi Persekutuan e-Sukan Malaysia, Muhammad Farouq Abdul Patah mengakui, saingan kompetitif industri e-Sukan negara bagi beberapa judul permainan seperti FIFA, PUBG Mobile dan Mobile Legends sudah mencapai tahap membanggakan.

“Ada lagi beberapa judul permainan yang belum mencapai tahap, contohnya pembangunan permainan video Fortnite tidak begitu dibangunkan. Sama juga seperti permainan e-Sukan permotoran seperti permainan video Gran Turismo.

“Kalau ada peluang untuk menilai tahap kompetitif atlet-atlet e-Sukan negara, saya boleh katakan tinggi,” jelasnya.

Gambaran tersebut seakan memberi isyarat jelas bahawa kontinjen e-Sukan negara mampu menjelmakan pungutan pingat kepada Malaysia pada temasya Sukan SEA 2021 di Hanoi, Vietnam dari 21 November hingga 2 Disember depan.

POPULAR

BERITA BERKAITAN