fbpx

Pensyarah didenda RM36,000 buat tuntutan palsu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohd. Shafie melarikan diri ketika pengamal media cuba merakamkan gambarnya di Kompleks Mahkamah Ayer Keroh, di sini hari ini.

MELAKA – Seorang pensyarah Politeknik Merlimau Melaka didenda RM36,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah atas tiga pertuduhan mengemukakan dokumen palsu berjumlah RM59,320.70 bagi pembelian keperluan pasukan ragbi pelajar di institusi itu sejak 2016.

Hakim Datuk Mohd. Nasir Nordin menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohd. Shafie Osman, 40, sebaik sahaja tertuduh mengaku salah atas pertuduhan yang dibacakan secara berasingan oleh jurubahasa mahkamah.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didapati dengan curangnya telah menggunakan dokumen palsu sebagai sebut harga dari Syarikat Ak Maju Resources masing-masing pada 19 Oktober 2016, 23 Januari 2017 dan 7 Ogos 2017.

Kesemua kesalahan itu dilakukan tertuduh di Politeknik Merlimau Melaka, KB 1031 Pejabat Pos Merlimau.

Sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 465 kanun sama.

Mengikut fakta kes, dalam tempoh tersebut tertuduh dengan curangnya telah menggunakan dokumen palsu Syarikat Ak Maju Resources dengan mengemukakan sebut harga masing-masing berjumlah 19,750.72 pada 19 Oktober 2016, RM19,810.24 (23 Januari 2017) dan RM19,759.74 (7 Ogos 2017).

Pemilik syarikat Noor Azam Khalid menyatakan beliau diarahkan tertuduh untuk menunjukkan contoh format sebut harga syarikatnya, namun mengesahkan tidak pernah mengeluarkan sebarang sebut harga serta membekalkan item-item yang dinyatakan di dalam dokumen itu.

Noor Azam juga mengesahkan terdapat kemasukan transaksi pembayaran berjumlah keseluruhan RM59,320.70 dan telah membuat pengeluaran menggunakan cek sebelum menyerahkan wang tersebut kepada tertuduh, seperti yang diarahkannya.

Peguam Rosli Kamaruddin yang mewakili tertuduh merayu agar hukuman ringan dapat diberikan dengan alasan anak guamnya merupakan seorang pensyarah berdedikasi dan banyak memberikan sumbangan kepada pasukan ragbi institusi pengajian tersebut sehingga mampu bertanding ke peringkat antarabangsa.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) R. Francine Cherly, bagaimanapun memohon hukuman setimpal dikenakan sebagai pengajaran terhadap tertuduh dan masyarakat.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda sebanyak RM12,000 bagi setiap pertuduhan atau penjara enam bulan jika gagal bayar. Tertuduh kemudian membayar denda tersebut. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI