fbpx

APMM tahan bot asing ceroboh perairan negara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
BOT nelayan Indonesia bersama empat kru ditahan APMM selepas menceroboh perairan negara pagi tadi.

LUMUT –Maritim Malaysia (APMM) Perak menahan sebuah bot nelayan Indonesia yang menceroboh perairan negara di kedudukan 32.1 batu nautika barat laut Pulau Jarak pagi tadi.

Pengarah Maritim Perak, Kapten Maritim Shahrizan Raman berkata, bot nelayan Indonesia yang dikendalikan empat kru termasuk tekong berumur dalam lingkungan 20 hingga 60 tahun itu dipercayai telah memasuki kawasan perairan Malaysia bagi tujuan penangkapan ikan.

“Kegiatan bot itu bagaimanapun telah dikesan oleh Kapal Maritim (KM) Gagah semasa melaksanakan Op Benteng pada pukul 9.50 pagi,” katanya dalam satu kenyataan di sini sebentar tadi.

Menurut Shahrizan, bot serta kru telah ditahan untuk disiasat di bawah Seksyen 15(1)(A) Akta Perikanan 1985 iaitu menangkap ikan di perairan Malaysia tanpa kebenaran Ketua Pengarah Perikanan Malaysia.

Katanya, mereka juga disiasat di bawah Seksyen 6 (1) (A) Akta Imigresen 1959/63 kerana memasuki Malaysia tanpa permit masuk yang sah dan Seksyen 6 (1) (C) akta sama kerana memasuki Malaysia tanpa memiliki dokumen yang sah.

Sementara itu, tindakan sekumpulan lelaki mencuri benih kerang tidak kesampaian apabila tindakan mereka berjaya dihidu sepasukan anggota APMM malam semalam.

Shahrizan berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 10.22 malam itu, bot Kilat 11 yang sedang melaksanakan Op Benteng mengesan sebuah bot fiber dalam keadaan mencurigakan di sekitar perairan muara Sungai Perak yang disyaki melakukan aktiviti mencuri benih kerang.

Menurutnya, menyedari kehadiran bot APMM, semua suspek meninggalkan bot dan melarikan diri ke daratan.

“Hasil pemeriksaan mendapati bot fiber tersebut sedang melakukan aktiviti mencuri benih kerang dan disyaki tidak mempunyai Lesen Mengambil Kerang serta tidak mematuhi Peraturan-Peraturan Perikanan iaitu Pemuliharaan Dan Kultur Kerang 2002.

“Rampasan benih kerang dianggarkan 10 kilogram manakala bot itu diiring ke Pusat Tahanan Vesel Kampung Bharu Sitiawan dekat sini bagi tujuan siasatan dan tindakan lanjut,” katanya.

Beliau berkata, penahanan itu membuktikan APMM sentiasa bersiap siaga dalam menguatkuasakan undang-undang bagi membendung kegiatan jenayah di laut meskipun negara terutama Perak masih dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB). -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI