fbpx

Koperal polis didakwa terima rasuah RM1,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ahmad Jefri mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kota Bharu hari ini atas pertuduhan menerima rasuah sebanyak RM1,000 daripada seorang wanita warga Thailand tahun lalu.-Foto ZULHANIFA SIDEK

KOTA BHARU – Seorang anggota polis berpangkat koperal dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menerima rasuah sebanyak RM1,000 daripada seorang wanita warga Thailand tahun lalu.

Tertuduh, Ahmad Jefri Azizi Mohamad, 41, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Zaman Mohd. Noor.

Mengikut pertuduhan, tertuduh yang merupakan anggota polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Pasir Mas di sini didakwa memperoleh rasuah sebanyak RM1,000 daripada Mohammad Salam Ibrahim.

Perbuatan itu sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan undang-undang terhadap Miss Masiyaton Huseng yang melakukan kesalahan di bawah Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) kerana memiliki pas sempadan tamat tempoh.

Kesalahan menerima rasuah itu dilakukan oleh tertuduh di Tasek Raja, Bandar Baru Pasir Mas kira-kira pukul 12.40 tengah hari pada 1 Jun tahun lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun, denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 atau mana-mana lebih tinggi jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nor Hamizah Ghazali manakala tertuduh diwakili peguam, Nur Nadia Mohd. Nordin.

Mahkamah kemudian menetapkan ikat jamin sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin termasuk syarat tambahan agar tertuduh melaporkan diri ke pejabat SPRM setiap bulan selain tidak mengganggu saksi pendakwaan.

Mahkamah juga akan menarik balik ikat jamin yang ditetapkan jika tertuduh melanggar salah satu syarat tersebut selain menetapkan 31 Mac depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan serahan dokumen.

Tertuduh membayar jumlah ikat jamin yang ditetapkan.-K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI