fbpx

Sesi sekolah agama di Johor bermula 7 Mac ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tosrin

JOHOR BAHRU – Sesi persekolahan bagi semua institusi pendidikan Islam di negeri ini akan bersambung semula bermula 7 Mac depan.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam negeri, Tosrin Jarvanthi berkata, sesi itu melibatkan Tadika Agama Johor, Sekolah Rendah Agama Rakyat dan Swasta, selain Madrasah Malabar, Institusi Tahfiz Swasta serta Institusi Pondok Swasta.

Katanya, bagaimanapun, bagi Institusi Pendidikan Islam swasta yang masih dalam proses pendaftaran perlu memohon pembukaan sekolah mengikut tarikh yang ditetapkan Bahagian Pendidikan Islam, Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ).

“Permohonan kebenaran hendaklah dimajukan kepada Pejabat Pendidikan Islam Daerah dan tertakluk kepada kebenaran beroperasi oleh Pegawai Pendidikan Islam Daerah.

“Institusi Pendidikan Islam swasta yang tidak berdaftar adalah tidak dibenarkan beroperasi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tosrin berkata, sesi persekolahan bagi Sekolah-sekolah Agama Kerajaan Johor dilaksanakan dua sesi iaitu tahap satu (tahun satu, dua, tiga) bersekolah pada Isnin dan Rabu bermula 8 Mac depan.

Beliau memberitahu, bagi tahap dua (tahun empat, lima, enam) bersekolah pada Ahad, Selasa serta Khamis bermula 7 Mac ini.

“Sekolah Menengah Agama Kerajaan Johor dan Sekolah Menengah Agama Swasta yang berdaftar di negeri ini akan mula sesi persekolahan pada 4 April depan.

“Bagi sesi persekolahan tingkatan satu hingga lima serta murid Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) sesi 2021 di Maahad Johor dan Maahad Tahfiz Negeri Johor, ia akan bermula pada 11 April depan,” ujarnya.

Katanya, perincian garis panduan persekolahan bagi Sekolah Agama Kerajaan Negeri Johor dan Sekolah-Sekolah Berasrama bagi Institusi Pendidikan Islam Negeri Johor akan dikeluarkan oleh Bahagian Pendidikan Islam JAINJ.-K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI