fbpx

Empat ahli Geng Aseng aktif curi kenderaan mewah diberkas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Antara kenderaan mewah yang dirampas susulan tangkapan sindiket curi kenderaan dalam operasi yang dijalankan di Taman Mount Austin dan Permas Jaya, Johor Bahru, Jumaat lalu.

JOHOR BAHRU – Kegiatan sindiket dikenali Geng Aseng yang aktif melakukan jenayah curi kenderaan mewah lumpuh apabila empat ahlinya diberkas di Taman Mount Austin dan Permas Jaya di sini, Jumaat lalu.

Dalam operasi bermula pada pukul 8 malam itu, kesemua suspek berusia 31 hingga 55 tahun ditahan dalam empat siri serbuan berasingan.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Mohd. Padzli Mohd. Zain berkata, serbuan itu dijalankan selepas pihaknya mendapat laporan kehilangan sebuah kenderaan jenis Toyota Alphard di Taman Desa Tebrau, Khamis lalu.

“Dalam siri serbuan berkenaan, polis turut merampas pelbagai peralatan canggih bagi mencuri kenderaan dan berdasarkan siasatan dibuat, sindiket ini dipercayai mampu mencuri kenderaan dalam tempoh 40 saat.

“Turut dirampas adalah empat buah kenderaan yang masih dilaporkan hilang, beberapa nombor pendaftaran kenderaan palsu dan peralatan mencetak cukai jalan palsu,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tambah Mohd. Padzli, siasatan lanjut mendapati tiga daripada suspek positif penyalahgunaan dadah selain turut memiliki rekod jenayah lampau bersabit dadah dan jenayah.

“Kesemua suspek kini direman selama empat hari bermula hari ini manakala kes akan disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan.

“Jika sabit kesalahan, mereka boleh dikenakan hukuman penjara tidak kurang satu tahun dan tidak lebih tujuh tahun beserta denda,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau turut menasihati orang ramai khususnya pemilik kenderaan untuk mengambil langkah berjaga-jaga dengan memasang kunci keselamatan tambahan terhadap kenderaan mereka.

Sehubungan itu, Mohd. Padzli turut meminta kerjasama orang awam untuk melaporkan sebarang kelakuan jenayah di kawasan mereka dengan menghubungi talian 07-2182323.-K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI