fbpx

Vaksin Pfizer-BioNTech tiba 10 pagi esok

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

PUTRAJAYA – Sebanyak 312,390 dos vaksin Pfizer-BioNTech akan tiba esok di Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA), Sepang melalui penerbangan MH604 yang dikendalikan oleh MABkargo Sdn. Bhd. (MASKargo).

Menurut Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV), vaksin itu dijangka tiba kira-kira pukul 10 pagi dengan penerbangan Passenger-to-Cargo (P2C) menggunakan pesawat Airbus 330-300.

Katanya, perjalanan vaksin itu adalah dari kilang Pfizer di Belgium dan telah diuruskan oleh Pfizer serta DHL melalui perjanjian di peringkat global.

“Vaksin ini berlepas dari Puurs, Belgium dan transit di Lapangan Terbang Leipzig Halle sebelum meneruskan perjalanan ke Singapura untuk pengedaran ke negara-negara Asia Pasifik lain termasuk Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

JKJAV berkata, setibanya di Malaysia, pengedaran vaksin dikendalikan oleh DHL Express yang juga merupakan ejen yang telah dilantik untuk pengedaran vaksin Pfizer BioNTech di peringkat global.

Ketibaannya akan disambut oleh Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba; Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin Abu Bakar; Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong dan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah.

JKJAV berkata, vaksin Pfizer-BioNTech adalah vaksin pertama yang memperoleh kelulusan bersyarat daripada Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) dan Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) pada 8 Januari lalu.

Setakat ini, Malaysia telah mendapat akses bekalan vaksin Covid-19 sebanyak 66.7 juta dos melalui Fasiliti COVAX dan pembelian awal daripada lima pengeluar vaksin Covid-19.

Kementerian Kesihatan mewakili kerajaan telah memeterai perjanjian dengan Pfizer (Malaysia) Sdn. Bhd. pada 11 Januari lalu untuk pembelian vaksin tersebut setelah memulakan perbincangan pada penghujung tahun lalu.

Ketibaan bekalan vaksin itu boleh ditonton secara langsung menerusi Facebook Live Kementerian Kesihatan dan saluran Radio Televisyen Malaysia sebagai media rasmi. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI