fbpx

Dua pemilik ternakan dikompaun lepas lembu berkeliaran

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Dua pemilik lembu dikompaun kerana membiarkan haiwan tersebut berkeliaran.

KUALA SELANGOR – Tindakan dua pemilik haiwan ternakan melepaskan lembu berkeliaran di sekitar daerah ini mengundang padah apabila dikenakan kompaun dan sitaan serta merta, semalam.

Kesalahan itu dikesan Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) yang melakukan operasi khas bersepadu di tiga lokasi berasingan, bermula pukul 10 pagi.

Dalam operasi selama sembilan jam itu, dua ekor lembu dan lapan ekor kambing ditangkap di sekitar Bestari Jaya, Jeram dan Ijok, di sini.

Pengarah Jabatan Kesihatan dan Persekitaran MDKS, Jefriee Abdul Manaf berkata, operasi itu dilakukan hasil maklumat dan pemantauan pihaknya mengenai haiwan ternakan yang memasuki kawasan laluan awam dan perumahan.

Katanya, hasil pemeriksaan kemudian mendapati dua individu gagal mengawal lembu ternakan mereka berkeliaran di Jalan Raja Abdullah, di sini.

“Oleh demikian, kita mengeluarkan kompaun ke atas mereka mengikut Seksyen 5 (1) Enakmen Mengawal Lembu-Kerbau 1971.

“Selain itu, kita menyita lembu berkenaan dan memperuntukkan denda maksimum RM1,000 atau penjara tidak lebih 12 bulan, jika sabit kesalahan,” katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.

Ujar Jefriee, objektif utama operasi itu bertujuan mencegah haiwan seperti lembu, kambing dan kerbau tidak berkeliaran di kawasan awam yang boleh mengganggu dan membahayakan pengguna jalan raya.

“MDKS boleh menyita haiwan yang ditangkap atau disimpan di suatu tempat kurungan khas dan kos sitaan itu turut perlu dibayar pemiliknya.

“Selepas kos itu dibayar, pemilik atau penjaga boleh menuntut semula haiwan tersebut mengikut Seksyen 4 (4) Enakmen Mengawal Lembu – Kerbau 1971,” katanya.

Tambah beliau, Seksyen 13 enakmen sama turut memberi kuasa kepada pihaknya untuk menjalankan pendakwaan di mahkamah ke atas mana-mana pesalah berkenaan.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan semua pemilik atau penjaga haiwan ternakan mematuhi peraturan ditetapkan bagi mengelak dikenakan tindakan. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI