fbpx

PGA rampas jubah, toto, bantal kekabu seludup

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SEBAHAGIAN barangan seludup dirampas PGA dalam serbuan di sebuah rumah yang dijadikan transit di Kampung Tebing Sungai, Rantau Panjang semalam.

RANTAU PANJANG – Taktik sindiket penyeludup yang menjadikan sebuah rumah sebagai transit menyimpan jubah, alas tidur (toto) dan bantal kekabu terbongkar apabila kawasan itu diserbu Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 9 semalam.

Dalam serbuan pukul 1 pagi di Kampung Tebing Sungai itu, PGA menahan seorang lelaki berusia 47 tahun yang disyaki penyeludup untuk membantu siasatan.
Pegawai Pemerintah PGA Batalion 9, Superintendan Nor Azizan Yusof berkata, pihaknya turut merampas jubah wanita, alas tidur (toto) dan bantal kekabu yang dianggarkan berjumlah RM 32,530.
Menurutnya, kejayaan itu hasil rondaan rutin dan pemantauan yang dilakukan oleh anggota PGA di sekitar kawasan Op Benteng Covid-19.
“Semasa rondaan dijalankan, anggota PGA melihat seorang lelaki sedang berhempas-pulas memunggah beberapa guni dan bungkusan alas tidur ke dalam sebuah rumah berhampiran kawasan tebing Sungai Golok.
“Anggota PGA kemudian telah menghampiri rumah tersebut dan menunjukkan kad kuasa kepada lelaki tersebut yang merupakan pemilik rumah itu untuk melakukan pemeriksaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Nor Azizan memberitahu, anggota PGA telah melakukan pemeriksaan di dalam rumah berkenaan sebelum menemui guni-guni mengandungi pakaian jubah wanita, alas tidur dan bantal kekabu.
“Siasatan awal mendapati, rumah tersebut dijadikan sebagai transit sebelum barangan itu dibawa menggunakan kenderaan ke pasar-pasar berdekatan.
“Kesemua barangan rampasan telah diserahkan kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia Kelantan untuk tindakan lanjut,” ujarnya.
Tambahnya, kes disiasat bawah Seksyen 135 (1) (e) Akta Kastam 1967. -K! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI