fbpx

PBNP kemukakan rayuan ke FIFA

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SUMAREH mengemukakan aduan kepada FIFA mengenai kegagalan PBNP melunaskan gaji mengikut kontrak menyebabkan PBNP dikenakan hukuman berkenaan.

PERSATUAN Bola Sepak Pahang (PBNP) akan membuat rayuan kepada Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) mengenai hukuman pembayaran sebanyak AS$1.2 juta (RM4.9 juta) kepada bekas pemain skuad Tok Gajah, Mohamadou Sumareh.

Perkara itu disahkan oleh bekas pengurus Pahang, Datuk Mohammed Suffian Awang selepas PBNP menerima surat daripada badan induk bola sepak dunia itu pada 2 Februari lepas.

Suffian yang kini Ketua Pegawai Eksekutif Sri Pahang FC berkata, pihaknya akan merujuk dengan peguam terlebih dahulu sebelum mengambil tindakan serta proses rayuan seterusnya.

“Kami telah merujuk peguam PBNP untuk mengambil tindakan seterusnya memandangkan kami hanya memiliki 10 hari untuk merayu keputusan tersebut selepas menerima surat daripada FIFA pada 2 Februari lepas.

“Kemungkinan besar pihak kami melantik peguam sukan yang pakar dari luar negara untuk mengendalikan kes seperti ini memandangkan FIFA hanya mendengar perkara ini daripada sebelah pihak (Sumareh) sahaja.

“Justeru, kami akan mene­liti setiap langkah yang diambil dan jika proses rayuan ini perlu dibawa sehingga ke Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS), kami akan lakukan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Sebagai rekod, Sumareh yang juga pemain naturalisasi negara mengambil tindakan untuk membuat aduan rasmi ke FIFA kerana tidak dibayar gaji selama beberapa bulan sewaktu mewakili skuad Tok Gajah musim lepas.

Sumareh yang menandatangani kontrak dengan Pahang sehingga 2022 dan mempunyai kenaikan gaji sebanyak AS$5,000 (RM20,362) setahun tetapi FIFA mendapati PBNP gagal membayar gaji mengikut kontrak.

Sumareh yang berhijrah ke kelab Thailand, Police Tero SC selepas kontrak berakhir bersama Pahang dijangka akan menyertai juara Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam masa terdekat.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI