fbpx

Farhan Asri kena ‘rembat’ semua peluang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
FARHAN ASRI

KEHADIRAN pelakon tinggi lampai itu sebagai salah seorang pengisi watak dunia lakonan di Malaysia mungkin tidak begitu dikenali berbanding nama-nama popular lain.

Bukan kerana tidak berbakat, namun peluang untuk dirinya memperlihatkan kebolehan yang ada memerlukan lebih banyak waktu.

Menjadi naib juara dalam pertandingan Hero Remaja 2017 juga bukanlah tiket untuk pemilik nama pentas, Farhan Asri mendapat laluan pantas meraih pelbagai tawaran kerjaya dalam bidang seni.

Setelah tiga tahun menanti, tawaran melakonkan watak utama dalam drama Menantu Tok Sintok terbitan A. Aida Production diibaratkan Farhan umpama mimpi jadi nyata. – FARIZWAN HASBULLAH

Kerja keras

“Struggle is real (perjuangan itu wujud),” ujarnya ringkas.

Benar seperti apa dikata. Sejak 2017 lagi, Farhan berusaha keras untuk membina nama sebagai pelakon tempatan. Namun sayang, namanya masih ibarat suam-suam kuku.

“Betapa penatnya saya untuk mencipta nama. Bukan untuk dikenali sebagai pelakon popular, tetapi cukup sekadar jika bakat saya dipandang sekali gus membuka peluang untuk saya mempamerkan kebolehan yang ada.

“Selama tiga tahun saya cuba bertapak dalam industri, namun ‘bukit’ yang saya daki amat sukar sekali,” ujar pelakon berusia 24 tahun itu.

Kepayahan yang dilaluinya untuk bergelar seorang aktor, membuatkan anak kelahiran Negeri Sembilan itu terfikir, bagaimana artis dahulu boleh mencipta nama tanpa teknologi seperti media sosial seperti hari ini?

Memikirkan hal tersebut, Farhan mula berfikiran positif dan menjadikan pelakon-pelakon lama sebagai model untuk berusaha lebih keras.

“Sejak itu tiada istilah penat dalam diri saya. Saya tolak ke tepi soal ego. Mungkin ada yang kata, artis kelahiran Hero Remaja tidak perlu berusaha keras sebab ‘job’ akan datang sendiri.

“Tetapi tidak bagi saya. Mana-mana sesi uji bakat yang ada, saya pergi untuk rebut peluang memegang watak tidak kira sama besar atau kecil. Saya ‘rembat’.

BUAT waktu ini Farhan enggan terbabit dalam hubungan cinta kerana ingin memberikan tumpuan terhadap
kerjaya sebagai pelakon.

Media sosial

Untuk menyerlahkan kemampuannya, Farhan tidak kisah jika diberikan watak tambahan. Katanya, siapa tahu dengan watak kecil, dia dapat peluang memegang watak utama suatu hari nanti.

Menurut Farhan, pengaruh media sosial turut memainkan peranan penting untuk membantu ‘melariskan’ nama seseorang pelakon dalam pasaran industri lakonan tempatan.

“Saya sedar, salah satu faktor menyebabkan kegagalan saya dalam industri kerana saya tidak begitu aktif dalam media sosial terutamanya Instagram,” ujarnya.

Katanya lagi, setiap kali jika dia menghadiri sesi uji bakat, pihak produksi akan bertanyakan tentang jumlah pengikut dalam laman sosial miliknya.

“Media sosial sudah diibaratkan seperti profil kepada selebriti dan pihak produksi nak tengok berapa jauh nama seseorang artis itu boleh dijual nanti. Kadang-kadang rasa tidak adil.

“Tetapi saya kena sedar kedudukan dan perlu berusaha keras untuk capai apa yang dimahukan,” jelas Farhan.

Mengakui pernah berkecil hati apabila melihat rakan-rakan seangkatan dengannya mula melebarkan sayap lebih jauh, akhirnya pada penghujung tahun 2020, barulah bakat Farhan dilirik dan diberikan watak utama dalam sebuah drama.

Tiga tahun lamanya dia menunggu, doa Farhan akhirnya dimakbulkan.

“Alhamdulillah, akhirnya saya diberi kepercayaan oleh Datuk A. Aida untuk memegang watak utama dalam sebuah drama 13 episod berjudul Menantu Tok Sintok.

“Selain itu saya turut diberi peluang memegang beberapa peranan dalam beberapa buah drama lain antaranya Rahimah Tanpa Rahim dan Cukup Derita Itu.

“Bukan senang saya nak dapat tawaran kerja dan apabila sudah dapat peluang saya akan buat betul-betul,” kata Farhan yang kini sedang melanjutkan pengajian pada peringkat Ijazah Sarjana Muda Komunikasi Massa di Universiti Teknologi Mara, Shah Alam.

PADA usia 24 tahun, Farhan melihat perjalanan kariernya masih jauh dan banyak perkara perlu dibaiki untuk menjadi seorang pelakon berjaya.

Enggan bercinta

Menyasarkan sekurang-kurangnya satu peluang untuk berlakon sebuah karya filem pada tahun ini, Farhan berkata pada ketika ini, dia mahu memberikan tumpuan sepenuhnya pada kerjaya dan menolak untuk mempunyai komitmen dalam percintaan.

Menurut Farhan, dia belum ada peracangan untuk berkahwin dan tidak mahu mengambil risiko dengan bercinta.

Tambahan pula katanya, fasa ‘patah hati’ setelah percintaan dengan seorang gadis selama beberapa tahun, namun berakhir begitu sahaja memberikan pengalaman bermakna buat dirinya.

“Tetapi kalau ada yang nak kenal-kenal, apa salahnya. Saya okey sahaja.

“Cuma, sekarang saya mahu memberi peluang pada diri sendiri dahulu untuk mengembangkan karier. Harap kehadiran saya dalam industri dapat diterima dengan baik,” katanya menutup perbualan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI