PETALING JAYA – Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah menzahirkan ucapan tahniah kepada Datuk Nicol Ann David yang memenangi Anugerah Atlet Terunggul Sepanjang Zaman Sukan Dunia semalam.
Menerusi hantaran yang dimuat naik di Facebook Istana Negara, Baginda menzahirkan rasa sukacita dan bangga atas kejayaan tersebut di samping mengharumkan nama negara di persada dunia.
Jelas kenyataan itu, kejayaan Nicol membuktikan bahawa negara mampu melahirkan atlet atau individu yang berkualiti, berkaliber yang juga bertaraf antarabangsa serta mampu bersaing dan berjaya di persada antarabangsa.
“Pencapaian Datuk Nicol Ann David ini sebagai kejayaan yang amat bermakna kepada Malaysia dan juga sebagai suntikan semangat dan kegembiraan kepada seluruh rakyat pada ketika dunia dan negara masih berada dalam keadaan yang perit bergelut memerangi penularan wabak Covid-19.
“Al-Sultan Abdullah menzahirkan harapan bahwa kejayaan Datuk Nicol Ann David menjadi sumber inspirasi kepada seluruh rakyat Malaysia untuk bekerja keras dan berusaha mencapai kejayaan di dalam bidang masing-masing di dalam negara mahu pun di persada antarabangsa.” jelasnya. – K! ONLINE














