fbpx
Al- Sultan Abdullah.

Agong zahir ucapan sempena Hari Wilayah Persekutuan 2021

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA – Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menyeru rakyat untuk menghayati semangat patriotisme dan cintakan Wilayah Persekutuan dengan sentiasa menanam sikap prihatin yang mendalam terhadap satu sama lain.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, baginda bertitah demikian semasa menzahirkan ucapan sambutan Hari Wilayah Persekutuan 2021 kepada seluruh warga Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya.

“Seri Paduka Baginda mengambil kesempatan ini menzahirkan rasa syukur ke hadrat Allah SWT yang telah mengizinkan kita semua untuk meraikan sambutan Hari Wilayah Persekutuan pada tahun ini meskipun dalam suasana norma baharu dan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Baginda menzahirkan penghargaan kepada seluruh rakyat, khususnya para petugas barisan hadapan, yang telah menunjukkan semangat solidariti, kesepaduan dan daya ketahanan yang tinggi dalam menghadapi serta memerangi penularan wabak Covid-19,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tambahnya, dengan sambutan tahun ini yang bertemakan “Wilayah Persekutuan Wilayah Prihatin”, ia amat selari dengan aspirasi Kementerian Wilayah Persekutuan dan agensi berkaitan.

“Seri Paduka Baginda dimaklumkan bahawa Kementerian Wilayah Persekutuan menerusi program Wilayah Prihatin telah menyediakan pelbagai inisiatif kepada warga Wilayah Persekutuan yang terkesan akibat ancaman Covid-19.

“Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya merupakan nadi yang menjana pertumbuhan negara ini. Ini dapat dilihat menerusi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada tahun 2020 yang banyak menunjukkan sumbangan Wilayah Persekutuan pada ekonomi negara adalah sebanyak 13.5 peratus,” ujarnya.

Baginda bertitah, angka pertumbuhan ekonomi hanya akan bermakna apabila rakyat mempunyai sumber pendapatan yang mencukupi, kediaman selesa, pendidikan yang sempurna, kesihatan yang baik, alam sekitar yang lestari dan keselamatan yang terpelihara untuk menjalani kehidupan bahagia dan sejahtera.

“Sehubungan dengan itu, Seri Paduka Baginda menasihatkan rakyat menunaikan tanggungjawab sosial dan nilai-nilai murni terhadap komuniti setempat bagi memastikan keharmonian terpelihara serta kekal berpanjangan.- K! ONLINE

POPULAR