fbpx

Nikmati troll sebagai hiburan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN
SOPI SAMAILE,
PENGARANG BERITA KOSMO.

DUA minggu yang panas, peminat bola sepak Liga Perdana Inggeris (EPL) pasti merasai suhu dan bahang saingan semakin mencanak-canak ketika ini.

Bahang yang dirasai bukan calang-calang. Ada yang berbulu disebabkan menjadi ‘bahan’ atau provokatif menerusi sindiran, ejekan, hinaan, perlekeh dan segala macam cara bagi menimbulkan perasaan negatif.

Istilah masa kini dipanggil troll, dalam kata lain mengikut Kamus Dewan Edisi Keempat sebagai sarkasme iaitu kiasan atau ironi yang mengandungi unsur-unsur kata pedas bertujuan untuk menyakitkan hati seseorang, sindiran.

Berbalik kepada minggu yang panas, ibarat bom nuklear ‘Little Boy’ dan ‘Fat Man’ yang masing-masingnya dijatuhkan di bandar raya Hiroshima dan Nagasaki, begitulah perasaan para penyokong The Reds apabila menyaksikan The Reds Devils menginjakkan kaki di singgahsana liga buat kali pertama sejak Disember 2012 (selepas 17 perlawanan).

Kemenangan 1-0 Manchester United ke atas Burnley sudah cukup melonjakkan skuad bimbingan Ole Gunnar Solskjaer di puncak liga dengan perbezaan tiga mata ke atas musuh tradisi, Liverpool di kedudukan kedua dan terkini sudah dibezakan enam mata.

Sebaik sahaja United bersemayam di singgahsana, ibarat meletusnya Perang Dunia Ketiga apabila meledaknya segala macam troll di alam dunia maya yang pastinya dihala kepada para penyokong The Reds tanpa ada sebarang penampan.

Apa tidaknya, sejak dipintas United, skuad bimbingan Jurgen Klopp serba-serbi tidak menjadi apabila meraih tiga keputusan seri dan dua kekalahan termasuk tewas 0-1 kepada Burnley pada aksi terakhir EPL dan tumbang 2-3 bagi saingan Piala FA kepada The Red Devils Isnin lalu.

Secara keseluruhannya, Liverpool kini terperosok di kedudukan keempat dengan 34 mata hasil sembilan kemenangan, tujuh seri dan tiga kekalahan pada saingan EPL.

Prestasi semasa Liverpool langsung tidak memberi ruang untuk para penyokong The Reds mempertahankan diri daripada kena troll sama ada dari segi perkataan, tulisan, grafik, gambar, visual dan sebagainya. Ibaratnya, celik sahaja mata, pagi-pagi sudah kena!

United pula berjaya menampilkan aksi cemerlang apabila tidak pernah tewas 13 aksi EPL sejak kalah 1-2 kepada Arsenal pada 2 November lalu dan mengumpul 40 mata menerusi 12 kemenangan, empat seri dan tiga kali tewas.

Maka, tidak hairan apabila menyaksikan penyokong United sudah mula mengukir senyuman sampai ke telinga apabila melihat The Red Devils mula terbang tinggi.

Namun, kena ingat bahawa langit tidak selalunya cerah memandangkan perjalanan EPL masih jauh dari jangkauan dan apa sahaja boleh terjadi, kerana pesawat yang sedang terbang pun boleh dirampas.

Apa pun sebenarnya, troll atau membaham penyokong lawan terutamanya antara Manchester United dan Liverpool sudah lumrah bahkan satu keseronokan dan diharap tidak diambil serius sehingga menjadi pergaduhan atau putus sahabat.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI