fbpx

‘Tak faham boleh datang sini’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
TUNKU ISMAIL mengingatkan mana-mana pihak agar memahami proses dan sistem ranking bola sepak yang dikendalikan oleh FIFA sebelum melakukan kritikan ke atas skuad Harimau Malaya.

PEMILIK kelab Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim membidas kritikan yang dilemparkan oleh sesete­ngah pihak yang semberono mempersoalkan ranking skuad Harimau Malaya di kedudukan ke-153 dunia ketika ini.

Tunku Mahkota Johor (TMJ) yang juga bekas Presiden Persa­tuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mahu proses dan sistem ranking bola sepak yang dikendalikan oleh Persekutuan Bola Sepak Dunia (FIFA) difahami sekali gus tidak sewenang-wenangnya me­lakukan kritikan.

“Nak tegur pasal isu kelab atau gaji tiada masalah tetapi nak tegur pasal ranking (Harimau Malaya) kena faham proses dan sistem ranking dahulu.

“Nak majukan bola sepak dan skuad kebangsaan mudah, hanya fokus dengan pasukan anda. Jika kelab, tahap liga dan infrastruktur bola sepak membangun, maka makin tinggi ranking skuad kebangsaan.

“Sekarang duduk diam-diam­ dan kalau tak faham boleh datang­ sini,” kata TMJ menerusi muat naik status di Instagram peri­badinya semalam.

Mengulas lanjut, Tunku Ismail mahu pihak tersebut memajukan pasukannya sendiri sebelum menyentuh tentang skuad kebangsaan.

“Orang yang ada jawatan dan baru sahaja jadi pemilik ini semua pandai bercakap. Namun, seorang pun tidak beri apa-apa sumbangan kepada bola sepak negara atau faham industri bola sepak.

“Semua cakap macam orang sudah banyak pencapaian dan kejayaan. Mula bercakap apabila anda ada beri sumbangan atau ada pencapaian dalam dunia bola sepak,” katanya.

Bagaimanapun, Tunku Ismail tidak menyatakan mana-mana pihak atau kepada siapa kenya­taan tersebut ditujukan.

Namun, baru-baru ini, pemilik Kelantan FC, Norizam Tukiman yang terkenal dengan panggilan Zamsaham tampil dengan kenyataan terkejut dengan ran­king skuad Harimau Malaya di kedudukan ke-153 dunia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI