fbpx

Pengawal keselamatan serah RM10, telefon pintar dalam kejadian samun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

BACHOK – Seorang pengawal keselamatan hanya mampu menyerahkan wang tunai sebanyak RM10 dan sebuah telefon pintar selepas digertak dengan sebilah pisau rambo dalam kejadian samun di pondok pengawal di sebuah sekolah di sini semalam.

Kejadian berlaku kira-kira pukul 3.30 pagi, ketika mangsa yang berusia 59 tahun sedang berada di dalam kereta jenis Proton Wira miliknya sebelum menyedari kehadiran dua orang lelaki yang tidak dikenali.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kelantan, Asisten Komisioner Wan Khairuddin Wan Idris berkata, siasatan mendapati salah seorang daripada lelaki terbabit kemudian membuka pintu kereta sebelum mengacukan sebilah pisau rambo ke arah dada mangsa.

Katanya, suspek telah mengarahkan supaya menyerahkan semua barang-barang berharga yang ada bersamanya.

“Bimbang dengan keselamatan diri, mangsa kemudian menyerahkan sebuah telefon pintar dan wang tunai RM10 kepada salah seorang lelaki terbabit.

“Pada masa sama, suspek bergegas ke pos pengawal sebelum mengacukan pisau ke arah leher seorang lagi pengawal sebelum lelaki itu menyerahkan sebuah telefon pintarnya,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.

Menurut Wan Khairuddin, suspek cuba bertindak untuk melarikan kereta mangsa, namun gagal apabila salah seorang pengawal telah melibas sebatang kayu ke arahnya.

Ujarnya, susulan kejadian itu, kedua-dua suspek melarikan diri dan melompat pagar sekolah berkenaan.

Katanya, berdasarkan keterangan mangsa, salah seorang daripada mereka yang berada di dalam pos pengawal terdengar rakan sekerjanya sedang bercakap dengan seseorang sebelum suspek bertindak membuka pintu pintu pondok pengawal dua minit kemudian.

“Siasatan mendapati, kedua-dua mangsa mengalami kerugian kira-kira RM800 untuk dua buah telefon pintar.

“Polis sedang menjalankan gerakan untuk mengesan dua lelaki terbabit untuk siasatan lanjut,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun secara berkumpulan dengan menggunakan senjata. – K! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI