fbpx
DUA kakitangan farmasi menyediakan suntikan vaksin Covid-19 di Las Vegas, Nevada pada 12 Januari lalu. – AFP

Jangan panik, semua akan dapat vaksin – WHO

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GENEVA, Switzerland – Tiada sesiapa perlu panik tentang akses vaksin Covid-19 kerana semua orang yang mahukan vaksin akan mendapatkannya, kata Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) kelmarin.

Penolong Ketua Pengarah WHO, Mariangela Simao berkata, pihaknya sedang berusaha memastikan akses vaksin Covid-19 diperoleh di seluruh dunia.

“Tiada sesiapa perlu panik kerana anda akan mendapat vaksin. Kami bekerja keras untuk memastikan semua negara, semua penduduk ada peluang mendapatkan vaksin ini,” kata­nya pada satu sidang video WHO.

Simao berkata, sekitar 50 negara telah memulakan kempen vaksinasi dengan 40 daripada­nya terdiri daripada negara berpendapatan tinggi.

Inisiatif vaksin yang diterajui bersama oleh WHO termasuk aspek agihan itu dikenali sebagai Covax. Ia melibatkan persetujuan dengan lima pengilang bagi mengeluarkan sebanyak dua bilion dos vaksin koronavirus.

Covax bermatlamat menyedia­kan dos vaksin kepada 20 peratus penduduk di setiap negara yang menyertai inisiatif itu menjelang akhir 2021 dan membiayai dana bagi tujuan itu untuk 92 negara berpendapatan sederhana rendah serta rendah.

“Kami menjangka dapat mengagihkan kumpulan dos pertama kepada negara-negara terbabit pada akhir Februari ini,” katanya.

Menurut penilaian WHO tentang calon vaksin Covid-19 yang ada, 64 telah diuji kepada manusia dengan 22 daripadanya mencapai peringkat akhir ujian massa.

WHO hanya meluluskan vaksin Covid-19 bagi kegunaan kecemasan melibatkan pelalian dua dos keluaran Pfizer-BioNTech yang memerlukan penyimpanan sangat sejuk mencecah suhu -70 darjah Celsius.

“Itu menjadi masalah kepada banyak negara,” kata ketua saintis WHO, Soumya Swaminathan.

Beliau memberitahu, ada vaksin lain yang lebih mudah digunakan, namun masih di pering­kat pembangunan termasuk vaksin Covid-19 suntikan tunggal dan vaksin yang disedut melalui hidung. – AFP