SUNGAI PETANI – Seorang bekas pesakit Covid-19 menganggap pengalamannya selama 14 hari dirawat di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) di sini baru-baru ini sebagai pengalaman yang cukup menginsafkan.
Hasni Shaari, 58, dari Amanjaya di sini berkata, dia telah menerima dos pertama vaksin sebelum dijangkiti Covid-19.
Katanya, dia bersyukur kerana telah sembuh, namun sukar melupakan pengalaman melihat kematian seorang warga emas akibat virus korona.
“Saya dimasukkan ke HSAH pada 31 Julai lalu kerana mengalami sesak nafas dan dijangkiti pada tahap tiga.
“Kebanyakan pesakit Covid-19 di wad terdiri daripada golongan warga emas yang mengalami sesak nafas dan memerlukan bantuan alat pernafasan,” katanya.
Menurutnya, ada dalam kalangan warga emas itu kelihatan tidak selesa dan sering menanggalkan sendiri alat bantuan pernafasan tersebut.
Katanya, dia juga sempat melihat situasi seorang pesakit Covid-19 diminta untuk mengucap kalimah syahadah oleh petugas kesihatan sebelum ditidurkan memandangkan mereka belum tahu lagi nasibnya selepas itu.
“Warga emas itu meninggal dunia selepas beberapa jam ditidurkan. Sayu hati saya melihat situasi tersebut dan hanya mampu berdoa supaya saya tidak menerima nasib yang sama,” jelasnya yang kini sudah beransur pulih.














