fbpx

Lelaki tertekan dengan masalah kesihatan maut jatuh bangunan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KEADAAN mangsa yang terjun dari tingkat tiga Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di Ipoh semalam.

IPOH – Tertekan kerana menghidap masalah kesihatan dipercayai menjadi punca seorang lelaki bertindak terjun dari tingkat tiga Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini semalam.

Mayat lelaki berusia 39 tahun itu dijumpai terbaring oleh pengawal keselamatan dengan kesan kecederaan parah pada kepala di kawasan tempat letak motosikal berhampiran lobi hospital pada pukul 6.30 petang.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner A. Asmadi Abdul Aziz berkata, lelaki berkenaan yang bekerja sebagai pembantu perubatan di hospital itu maut di tempat kejadian akibat parah pada kepala.

Katanya, mangsa yang sedang bertugas itu dipercayai terjun dari tingkat tiga bangunan utama hospital berkenaan.

“Mayat mangsa disahkan oleh rakan setugasnya di mana lelaki itu turut memaklumkan menjumpai nota bunuh diri dalam beg milik mangsa.

“Nota tersebut bertulis, ‘saya mati kerana saya tidak boleh tahan masalah kesihatan saya tidak boleh berfikir normal sorry (maaf) amma, Sumana dan kawan-kawan semua saya tidak mahu susahkan lagi u (awak) semua’,” katanya di sini hari ini.

Menurut A. Asmadi, turut dijumpai dalam beg tersebut ialah kad pengenalan diri mangsa, kad perubatan dan kad kaunseling.

Katanya, rakan mangsa turut mengesahkan lelaki itu sedang bertugas 24 jam di wad tingkat tiga semalam dan sedang menunggu keputusan rawatannya.

“Mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik HRPB untuk bedah siasat dan kes setakat ini diklasifikasikan sebagai mati mengejut sehingga keputusan bedah siasat diperolehi,” katanya.

Sementara itu, beberapa rakan mangsa yang ditemui di Jabatan Forensik HRPB memberitahu mangsa dilihat murung sejak beberapa hari lalu namun tidak berkongsi keadaannya itu dengan orang lain.

Difahamkan, mangsa yang berkhidmat di hospital berkenaan lebih setahun lalu juga merancang untuk berkahwin pada Mei ini.-K!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI