fbpx
Suspek menunjukkan lokasi latex atau bahan mentah membuat sarung tangan yang disimpan di depoh simpanan lori di Taiping, Perak selepas mencuri di sebuah kilang di Klang.

Komplot pemilik depoh lori curi latex

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG – Komplot 10 individu termasuk pemilik depoh simpanan lori dalam aktiviti mencuri bahan mentah membuat sarung tangan getah atau latex terbongkar apabila kesemuanya dicekup dalam dua operasi berasingan baru-baru ini.

Kesemua suspek yang turut terdiri lima warga asing berusia 20 hingga 50 tahun ditahan di Pulau Pinang dan Perak pada Ahad serta semalam.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Nurulhuda Mohd. Salleh berkata, penangkapan mereka susulan laporan polis daripada seorang jurutera kilang sarung tangan di daerah ini yang kehilangan sebanyak 5,570 kilogram bahan mentah berkenaan yang bernilai RM 54,000 pukul 6.51 petang pada 13 Januari lalu.

Katanya, siri tangkapan dimulakan terhadap pemandu lori yang merupakan pekerja sebuah syarikat pengangkutan di Pulau Pinang selepas memberikan keterangan di Ibu Polis Daerah Klang Utara, Ahad lalu.

“Soal-siasat seterusnya membawa serbuan di Seberang Perai Selatan, Pulau Pinang dengan menahan lima rakan suspek pukul 5.10 petang hari sama.

“Lanjutan tangkapan itu kemudiannya memberkas empat lelaki lagi termasuk pemilik depoh simpanan lori di Taiping, Perak pukul 10.25 malam tadi,” katanya dalam kenyatan di sini hari ini.

Nurulhuda menambah, pihaknya turut merampas dua kenderaan termasuk lori, tujuh telefon bimbit, lima tong cecair dan satu dekoder rakaman televisyen litar tertutup (CCTV).

Kata beliau, siasatan mendapati pemilik depoh itu telah membayar sebanyak RM30,000 secara tunai dan transaksi menerusi mesin pengeluaran automatik (ATM) kepada pemandu lori untuk membawa latex itu.

Difahamkan semua bahan itu akan dijual di pasaran gelap susulan permintaan yang tinggi terhadap sarung getah sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini.

“Semakan rekod mendapati tiga suspek warga tempatan mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan dan Akta Imigresen 1959/63,” jelasnya.

Dalam perkembangan berlainan, beliau menjelaskan sebanyak 120 kompaun dikeluarkan dengan kesalahan meliputi tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) seperti tidak memakai pelitup muka, berniaga lebih masa dan gagal mengisi butiran menerusi aplikasi MySejahtera,” katanya. -K!ONLINE