fbpx

Kain rentang untuk didik masyarakat -MBSA

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kain rentang yang menjadi polemik di kalangan netizen selepas tular di laman sosial.

SHAH ALAM – Pemasangan kain rentang berhubung pemberian makanan kepada haiwan terbiar dan berkeliaran merupakan kaedah didikan dalam mengelak penambahan bilangan haiwan tersebut di beberapa lokasi sekitar daerah ini.

Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dalam kenyataannya hari ini memaklumkan pemasangannya juga merupakan salah satu pelaksanaan kempen memberi makan secara bertanggungjawab.

Katanya, setiap individu perlu bertanggungjawab ke atas haiwan yang diberi makan seperti mengambil dan memelihara haiwan tersebut di kediaman masing-masing serta menjaga kebajikan haiwan tersebut.

“Pemantauan pihak MBSA mendapati haiwan berkeliaran ini termasuk anjing mendapat sumber makanan daripada penduduk yang sekaligus menambah bilangan haiwan itu.

“Justeru, kaedah pendidikan seperti pemasangan kain rentang ini dapat memberikan pendedahan agar masyarakat bekerjasama dengan MBSA menangani masalah itu walaupun aktiviti-aktiviti penangkapan haiwan terbiar dilaksanakan secara berkala pihak kami,” katanya.

Terdahulu tular di laman sosial Facebook berhubung pemasangan kain rentang itu yang menimbulkan pelbagai polemik di kalangan netizen termasuk menyifatkan MBSA sebagai tidak berhati perut kepada haiwan.

MBSA menjelaskan sebanyak 1,840 aduan berkaitan anjing yang berkeliaran yang menyebabkan kacau ganggu kepada orang ramai diterima pihaknya sepanjang tahun lalu.

“Setiap individu yang memberi makanan kepada mana-mana haiwan perlu bertanggungjawab ke atas haiwan itu dan boleh dianggap sebagai pemilik haiwan tersebut mengikut Seksyen 33, Akta Kebajikan Haiwan.

“Manakala aktiviti memberi makan kepada haiwan terbiar akan menyebabkan kawasan tersebut menjadi kotor merupakan satu kesalahan mengikut Seksyen 81 Akta Kerajaan Tempatan 1976, ” ujarnya.

Dalam perkembangan sama, orang ramai yang ingin membuat aduan berkaitan haiwan berkeliaran boleh menghubungi di talian bebas tol MBSA 1800884477. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI