fbpx

K2

Asparagus Pilah penuhi permintaan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SE YEN (kanan) dan anaknya, Yau Soo menunjukkan asparagus untuk dipasarkan.

SEBUT saja asparagus, ramai yang terkenangkan sayuran berkenaan yang banyak dijual ketika mengunjungi kawasan tanah tinggi Cameron Highlands di Pahang.

Namun, antara sedar atau tidak, bagi memenuhi permintaan pasaran di negara ini, asparagus merupakan antara sayuran yang terpaksa diimport dari Thailand dan Australia.

Walaupun asparagus merupakan sayuran yang tidak ‘popular’ dipilih para pekebun di negara ini, namun sebenarnya permintaan terhadapnya menggalakkan dan setiap hari sayuran berkenaan diperlukan untuk dipasarkan baik di pasar raya mahupun kedai sayuran biasa.

Menurut Chang Se Yen, 68, setiap hari dia dan anaknya Ching Yau Soo, 40, mampu menyediakan sekurang-kurangnya 80 kilogram (kg) asparagus untuk dipasarkan ke beberapa buah pasar raya di sekitar Kuala Lumpur dan Melaka.

Se Yen atau lebih dikenali sebagai Ong Lai oleh pekebun di sekitar Kuala Pilah, Rembau dan Tampin, Negeri Sembilan menyatakan, sayuran asparagus itu merupakan antara jenis sayuran yang ditanam oleh mendiang bapanya, Chang Leong sejak pertengahan tahun 1960-an di Taboh Naning, Melaka.

“Saya sudah biasa dengan tanaman asparagus. Walaupun cara penjagaannya tidak susah serta mampu mengeluarkan hasil setiap hari, namun ia perlu dituai segera sebelum rebung anak pokok asparagus bertukar menjadi pokok serta tidak sesuai untuk dituai.

“Malah, untuk tahun pertama bagi projek tanaman sayuran asparagus ini, pekebun harus bersabar terlebih dahulu untuk mendapatkan pokok asparagus yang besar dan lebih sihat bagi menghasilkan rebung anak pokok yang sesuai untuk dipasarkan,” katanya ketika ditemui di Ladang Rakyat Selaru, Kuala Pilah baru-baru ini.

Se Yen berkata, asparagus yang diusahakannya bersama anak merupakan antara kawasan tanaman asparagus terbesar di negara ini iaitu sekitar empat hektar.

 

SEBAHAGIAN daripada tanaman asparagus di tanah seluas empat hektar yang diusahakan dua beranak di Ladang Rakyat Selaru, Kuala Pilah sejak enam tahun lalu.

 

Malah menurutnya, asparagus yang ditanam di kawasan tanah rendah lebih manis dan sedap serta sesuai untuk dimasak melalui kaedah menggoreng atau dicampurkan dengan sayur lain.

“Asparagus bukan hanya sesuai ditanam di kawasan tanah tinggi tetapi juga ada spesies yang ditanam di kawasan tanah rendah dan hidup subur dengan iklim negara ini yang panas serta lembap sepanjang tahun.

Menurut Se Yen, dia mendapatkan benih berkenaan dari Taiwan dan mengusahakan projek berkenaan dengan kos sekitar RM50,000.

“Mujur pekebun di Ladang Rakyat Selaru ini menerima khidmat nasihat serta bantuan daripada Jabatan Pertanian bagi memastikan projek mengeluarkan sendiri hasil pertanian buat negara ini dapat tercapai.

“Kami tanam asparagus secara berperingkat-peringkat, bila sini pokoknya dah makin besar dan sihat, kami kembangkan ke kawasan lain pula sehingga mampu memenuhi kawasan seluas empat hektar ini,” katanya.

Tambah Se Yen lagi, pokok asparagus tumbuh seperti rimbunan buluh dan semasa diusahakan bersama mendiang bapanya itu, masih belum terdapat banyak penyakit yang boleh merosakkan pokok asparagus berbanding zaman ini.

 

SE YEN menunjukkan tanaman asparagus yang dituai.

 

Bagi Yau Soo pula, faktor cuaca yang kini kerap hujan dan udara lembap juga meningkatkan risiko tanaman asparagus diserang kulat.

Bagaimanapun, menurutnya, senario berkenaan tidak mematahkan semangat mereka dua beranak apatah lagi mereka sudah memiliki senarai pembeli setia sejak lebih lima tahun lalu.

“Ada juga yang menanam asparagus dalam rumah hijau, namun di kawasan ini (Kuala Pilah), kaedah berkenaan kurang sesuai kerana ada kalanya cuaca agak panas dan boleh memberi risiko pokok mudah rosak,” katanya.

Mengimbas kenangan enam tahun lalu, Yau Soo menyatakan mereka membeli benih asparagus seberat 2.5kg dari Taiwan dan kemudiannya menyemai benih berkenaan menggunakan medium tray sebelum disemai di atas batas tanah.

“Proses semaian memakan masa kira-kira dua bulan sebelum ia dipindahkan ke tapak semaian bagi kaedah penjagaan anak pokok yang selalunya lapan hingga 10 bulan,” ujarnya sambil memberitahu harga asparagus di pasaran mampu mencecah sehingga RM30 sekilogram.

Pokok asparagus dimiliki dua beranak ini tidak terhitung bilangannya memandangkan ia tumbuh merimbun di atas puluhan batas.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI