SEREMBAN – Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) mendedahkan beberapa individu tidak bertanggungjawab menjadikan negeri itu sebagai tempat persinggahan ‘ajaran sesat’.
Penyebaran ajaran sesat turut dibuat melalui platform digital seperti WhatsApp, Instagram dan media sosial tertutup, yang hanya boleh diakses oleh ahli yang telah berbaiah atau memberi wala’ (sumpah taat setia) kepada ketua ajaran sesat.
Pengarah JHEAINS, Datuk Mohd. Asri Abdullah berkata, pengasas atau sesetengah guru ajaran sesat yang sudah pun dikenal pasti bertapak di negeri ini bukannya terdiri daripada penduduk setempat.
“Negeri Sembilan menjadi laluan strategik bagi kumpulan ajaran sesat kerana kedudukannya yang menghubungkan laluan dari selatan, timur, barat dan utara Semenanjung Malaysia.
“Ini menjadikan Negeri Sembilan sebagai tempat persinggahan selepas mereka dikenakan tindakan atau difatwakan sesat di negeri lain“Sungguhpun begitu, ajaran sesat di Negeri Sembilan terus dipantau secara aktif oleh JHEAINS, walaupun aktiviti penyebaran biasanya dijalankan secara tertutup dan menyasarkan individu yang lemah asas pengetahuan agama,” katanya kepada Kosmo! ketika dihubungi, di sini, baru-baru ini.
Mengulas lebih lanjut, Mohd. Asri berkata, kebanyakan pengikut tidak menyedari mereka telah menyimpang daripada akidah Islam sebenar, manakala sebahagian pengikut terdiri daripada ahli keluarga.
“Justeru ada yang enggan memberi kerjasama ketika siasatan atau menarik diri sebagai saksi semasa perbicaraan,” katanya.
Ujar beliau, JHEAINS kini sedang memantau beberapa ajaran berkaitan amalan batiniah, ilmu hakikat dan makrifat, unsur-unsur persilatan yang disyaki menyimpang daripada akidah Ahli Sunnah Waljamaah.
“Sebahagian kes masih dalam proses melengkapkan kertas siasatan. Terdapat juga aduan yang tidak dapat diambil tindakan kerana individu penyebar ajaran sesat melarikan diri ke luar negara, namun masih terus menyebarkan doktrin mereka melalui platform media sosial,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau menegaskan, setakat ini, terdapat 12 kes telah dihadapkan ke peringkat pendakwaan.
“Dari jumlah tersebut, dua kes telah dilepas dan dibebas iaitu kes Hizbur Tahrir dan GISBH di Kuala Pilah, dua lagi masih dalam perbicaraan membabitkan ajaran Asmaul Husna Wan Maseri dan GISBH di Rembau.
Manakala jelasnya, lapan lagi kes sudah disabitkan kesalahan dan sudah jatuhkan hukuman iaitu dua kes Millah Abraham di Tampin, Ahmadi Religion membabitkan satu kes di Seremban, dua kes tilik nasib di
Seremban, satu kes Imam Mahdi juga di Seremban, dan Ajaran Cahaya membabitkan dua kes di Kuala Pilah.
“Jabatan Mufti Negeri Sembilan juga telah memfatwakan beberapa ajaran salah antarnya, Golongan Anti Hadis, Ajaran Tapediri 65 atau Ba Tha Mim 114, Ajaran dan Fahaman Hizbut Tahrir, upacara dan amalan perbomohan Ibrahim Mat Zin.
“Turut diharamkan adalah ajaran Zikir Alunan Zat Cinta, Hikmah Al-Fatihah daripada Mohd Zaman Mohd Nor dan ajaran Millah Abraham@ Ibrahim,” katanya.
Mohd. Asri turut berkongsi mengenai pengasas serta penyebaran beberapa ajaran sesat di negeri ini antaranya Millah Abraham yang telah diasaskan oleh Ahmad Musadeq atau Abdusalam dari Indonesia.
“Ajaran Millah Abraham ini mula tersebar di Tampin dan hanya dalam kalangan ahli keluarga. Individu yang mengaku sebagai Imam Mahdi, dipercayai oleh pengikut pelbagai lapisan masyarakat, kini telah meninggal dunia.
“Manakala, Ajaran Cahaya pula dikesan di Kuala Pilah, diketuai Idris Bin Ami, warganegara Singapura, dan disebarkan dalam kalangan kenalan rapat. Seterusnya, Ahmadi The Religion, diasaskan oleh Abdullah Hashem di Seremban turut disebarkan kepada ahli keluarga.
“Aktiviti tilik nasib dikesan di Seremban pula dilakukan oleh seorang warganegara Indonesia. Kesemua individu yang menyebarkan ajaran ini telah disabitkan bersalah dan dijatuhkan hukuman denda serta penjara oleh Mahkamah Syariah.
“Sehingga kini lebih 300 orang telah mengikuti program bimbingan dan advokasi yang dijalankan oleh JHEAINS. Bahkan, saya menyarankan agar setiap individu Muslim memperkukuhkan ilmu agama yang sahih dengan belajar daripada guru-guru agama yang bertauliah, diiktiraf kepakaran dan disiplin ilmunya,” katanya.
















