fbpx

Tempoh getir PKP 2.0

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Langkawi kembali sepi dan hanya mengharapkan pelancong dari Kedah sahaja yang me­lancong ke sana.
NORLIDA AKMAR IDROS, WARTAWAN EKSEKUTIF

DUA sahabat yang menyara kehidupan dengan menyarung kos­tum adiwira di Pantai Chenang, Langkawi tersenyum lebar apabila kerajaan menarik balik la­rangan merentas negeri mulai 7 Disember lalu.

Pengumuman tersebut sememangnya melegakan Mohd. Zaim Mohd. Naim, 34, dan Mohd. Faizul Nofiah, 28, apabila mereka boleh kembali menyarung kostum Deadpool dan Spiderman untuk mencari rezeki.

Harapan mereka, Langkawi tidak lagi sepi dan kembali me­riah seperti sebelum ini.

Namun, dua sahabat itu hanya sempat keluar mencari rezeki kurang 40 hari sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dikuatkuasakan di beberapa negeri selama 14 hari bermula 13 ­Januari lalu.

Kini, Langkawi kembali sepi dan hanya mengharapkan pelancong dari Kedah sahaja yang me­lancong ke sana.

Keadaan itu pasti menyukarkan lagi kehidupan Mohd. Zaim dan Mohd. Faizul yang bergantung sepenuhnya kepada kedatangan pelancong yang merupakan nadi kepada industri
pelan­co­ngan Langkawi.

Itu realiti yang terpaksa dihadapi dari sekecil-kecil pemain industri pelancongan sehinggalah pengusaha hotel lima bintang yang telah lama bertapak di situ.

Rata-rata pemain industri termasuk pengusaha hotel dan agensi pelancongan mendakwa mereka baru sahaja mahu bangkit semula selepas kerajaan memberi kebenaran untuk merentas negeri pada awal bulan lalu.

Malangnya, industri di situ kembali suram dan mungkin akan berterusan sebegitu sekiranya kes Covid-19 terus menunjukkan peningkatan.

Naib Pengerusi Persatuan Hotel Malaysia Cawangan Kedah dan Perlis, Razmi Rahmat berkata, Langkawi baru menerima kedatangan ramai pelancong selepas larangan rentas negeri yang dilaksanakan di kawasan zon merah seperti Lembah Klang ditamatkan.

“Larangan rentas negeri memberi kesan teruk kepada kami kerana kebanyakkan pelancong domestik datang dari Lembah Klang,” katanya.

Menurutnya, kira-kira 70 peratus sumber ekonomi di Langkawi adalah daripada industri pelancongan.

“Kita faham keperluan untuk mengadakan larangan tersebut, tetapi kita juga memohon kerajaan untuk memahami ­situasi yang terpaksa dihadapi oleh industri pelancongan setelah hampir sembilan bulan terseksa ke­rana tiada pendapatan,” katanya.

Sementara itu, Pengurus Kedah Tourism, Nor Azlan Fitri Abdul Razak berkata, kedatangan pelancong ke Kedah dijangka merosot sehingga 70 peratus ekoran pelaksanaan larangan merentas negeri itu.

“Pelancong dari luar Kedah terutama Lembah Klang dan Pulau Pinang membatalkan tempahan selain pembatalan kursus, mesyuarat, seminar dan majlis-majlis keraian,” katanya.

Selain itu, menurut Nor Azlan, pengurangan trip feri ke Langkawi turut memberi kesan terhadap kemasukan pelancong ke pulau legenda itu.

Justeru, beliau berharap lebih banyak promosi dilakukan oleh penggiat industri pelancongan terutama pengusaha hotel bagi menarik penduduk tempatan bercuti dalam negeri.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI