fbpx

Polis tiada kuasa batal kompaun ingkar SOP

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MIOR Faridalathrash (dua dari kiri) mendengar taklimat Operasi Mencari dan Menyelamat (SAR) di Pusat Kawalan Tempat Kejadiaan (PKTK) di Sungai Kinta. Foto - ZULFACHRI ZULKIFLI.

BATU GAJAH – Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak mempunyai kuasa membatalkan kompaun di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) seperti dakwaan yang dibuat di media sosial.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid sebaliknya berkata, pihak polis adalah antara agensi penguatkuasa yang dilantik di bawah Akta 342 bagi menguatkuasakan peraturan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.

Katanya, pasukan itu hanya mempunyai kuasa mengeluarkan kompaun manakala menentukan sama ada terdapat kesalahan atau tidak, adalah pihak Pejabat Kesihatan Daerah dan mahkamah.

“Kita tiada kuasa untuk batalkan kompaun kerana dipihak polis hanya diberi kuasa di bawah Akta 342 untuk mengeluarkan kompaun sekiranya didapati terdapat pelanggaran SOP (prosedur operasi standard).

“Jadi peranan individu itu untuk menjelaskan kompaun tersebut di Pejabat Kesihatan Daerah atau Pegawai Kesihatan Daerah. Itu tanggungjawab mereka untuk pergi ke sana,” katanya ketika ditemui pemberita di Pusat Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa lemas di Sungai Kinta di sini hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan warga maya di media sosial Facebook yang mendakwa polis mempunyai kuasa untuk membatalkan kompaun PKP.

Isu berkenaan timbul selepas tular seorang remaja perempuan berusia 17 tahun tidak mempunyai keupayaan untuk membayar kompaun RM1,000 yang dikenakan ke atasnya atas kesalahan tidak memakai pelitup muka ketika bekerja di sebuah restoran di Taman Perpaduan dekat Tambun, kelmarin.

Mengulas lanjut Mior Faridalathrash berkata, sekiranya orang yang dikenakan kompaun itu tidak berpuas hati dengan tindakan tersebut, mereka boleh membuat rayuan  yang mana Pejabat Kesihatan Daerah akan memberi tarikh untuk hadir ke mahkamah.-K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI