fbpx

K2

Vaksin lima kepada enam serangkai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PENGENALAN vaksin enam serangkai dapat mengurangkan suntikan dan kurang kesakitan kepaya bayi dan kanak-kanak. – gambar hiasan\

DALAM usaha memberi pelindungan yang sebaik mungkin dalam menjaga kesihatan bayi di negara ini, Kementerian Kesihatan (KKM) telah mengumumkan untuk melaksanakan pertukaran Jadual
Imunisasi Kebangsaan Untuk Kanak-kanak melibatkan semua klinik kesihatan di seluruh negara secara berperingkat.

Pelaksanaan pertukaran jadual imunisasi itu susulan pertukaran jenis vaksin kombinasi lima serangkai difteria-tetanus-pertussis-polio-Haemophilus influenza type b (pentavalent DTaP-IPV//Hib) iaitu vaksin Hepatitis B kepada vaksin kombinasi enam serangkai iaitu vaksin Hexavalent di bawah Program Imunisasi Kebangsaan (NIP) bagi kanak-kanak.

Melalui inisiatif ini, KKM meletakkan Malaysia sebagai salah satu negara paling terkehadapan dalam melindungi kanak-kanak dengan vaksin kombinasi dan salah sebuah negara utama di Asia yang memperkenalkan vaksin Hexavalent dalam jadual imunisasi kebangsaan.

Pakar Perunding Kanak-kanak dan Ketua Jabatan Pediatrik, Pusat Perubatan Ara Damansara Dr. Rakhee Yadav berkata, ramai ibu bapa dan anak-anak yang mendapat manfaat hasil daripada vaksin Hexavalent yang diperkenalkan ke dalam NIP.

Menurutnya, vaksin Hexavalent membolehkan pengurangan suntikan berlaku.

“Sebelum ini, vaksin Hepatitis B diberikan secara berasingan. Dengan pelindungan Hepatitis B dalam vaksin Hexavalent, kini kita mempunyai pelindungan terhadap lebih banyak penyakit iaitu enam penyakit berbanding hanya lima dalam vaksin terdahulu.

“Dengan vaksin Hexavalent ini, ia membolehkan pengurangan suntikan, kurang kesakitan bagi kanak-kanak dan mereka tidak terdedah kepada terlalu banyak jarum pada umur yang begitu muda,” katanya.

 

Dr. RAKHEE YADAV

 

Tambahnya, kunjungan ke klinik atau hospital juga berkurang kerana ibu bapa hanya perlu membawa anak mereka berjumpa doktor sebanyak tiga kali bukannya lima kali.
Jadual imunisasi kini menjadi lebih mudah.

Pada masa lalu, kanak-kanak perlu pergi ke klinik hampir setiap bulan dan kini hanya perlu pergi pada usia dua bulan, tiga bulan, lima bulan dan 18 bulan untuk vaksin Hexavalent.

Vaksin enam serangkai diberikan untuk mencegah enam jenis penyakit iaitu penyakit difteria, tetanus atau kancing gigi, pertussis atau batuk kokol, poliomyelitis, jangkitan Haemophilus influenza type b dan Hepatitis B (hexavalent DTaP-IPV-HepB-Hib).

Dalam pada itu, Rakhee menjelaskan, bertukar daripada vaksin lima dalam satu kepada vaksin Hexavalent adalah langkah yang memudahkan.
Jelasnya, para doktor tidak perlukan latihan tambahan berasingan atau peralatan khas.

“Pertukaran ini bukanlah perkara besar, ia cuma beralih daripada satu vaksin kepada vaksin lain.

“Selain itu, tiada kesan sampingan dengan peralihan ke vaksin Hexavalent. Penerima cuma akan demam ringan selama satu atau dua hari tetapi kebanyakan kanak-kanak tidak mengalami demam langsung,” jelasnya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) Dr. Koh Kar Chai berkata, pihaknya menyokong dan gembira dengan langkah KKM untuk melakukan peralihan kepada vaksin Hexavalent dalam NIP kerana ia adalah satu perkara positif dalam menggalakkan pengambilan vaksinasi dalam kalangan masyarakat Malaysia.

Menurutnya, kita cenderung untuk terlepas pandang soal perlindungan apabila kita menjalani kehidupan yang mudah.

 

Dr. KOH KAR CHAI

 

“Semua penyakit ini tidak kelihatan sekarang kerana kita sudah lama menjalankan program vaksinasi. Selama tempoh ini, vaksinasi memang telah membantu membasmi penyakit.

“Secara keseluruhan, penerimaan vaksinasi di Malaysia adalah tinggi. Vaksin Hexavalent adalah vaksin yang telah dicuba dan diuji. Kami telah memberi vaksin kepada anak-anak kita terhadap semua penyakit kanak-kanak selama bertahun-tahun,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI