fbpx

Tempoh kritikal Covid-19 Malaysia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN
FIRDAUS HASSAN
PENOLONG PENGARANG BERITA

Hari ini memasuki hari ketiga Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi enam negeri berisiko iaitu Pulau Pinang, Selangor, Melaka, Johor, Sabah dan Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan).

Ada yang menggelarkan PKP 2.0, ada yang menyebut PKPL (Perintah Kawalan Pergerakan Lagi).

Enam negeri lagi iaitu Pahang, Perak, Negeri Sembilan, Kedah, Terengganu dan Kelantan dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), manakala Perlis dan Sarawak pula dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Tinjauan pada hari pertama PKP mendapati bandar-bandar utama di enam negeri tersebut lengang berikutan orang ramai mematuhi arahan kerajaan agar kekal berada di rumah.

Dalam pada itu, pelbagai reaksi dilemparkan masyarakat di media sosial.

Komen-komen keluhan termasuk perkongsian video nyanyian seolah-olah menyambut hari raya mendapat perhatian netizen.

Malah, ada yang sudah merancang apa perlu dilakukan di rumah memandangkan ini kali kedua rakyat melalui PKP.

Rakan penulis ada berkongsi dia dan isteri sudah lapan hari disahkan positif Covid-19, namun belum ‘dijemput’ pihak Kementerian Kesihatan untuk ke pusat kuarantin.

Seorang rakan pula yang merupakan ibu kepada seorang anak disahkan positif dan berkongsi proses check in ke Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah di MAEPS Serdang.

Berikutan kes harian yang tinggi, wanita ini terpaksa melalui tempoh yang panjang sebelum dapat masuk ke pusat tersebut.

Apa yang meruntun jiwa penulis ialah ketabahannya terpaksa meninggalkan anak kecil di rumah dengan suami. Anaknya juga terpaksa menjalani ujian saringan.

Penulis mendoakan mereka berdua serta pesakit lain yang sedang menjalani rawatan kembali sembuh. Perlu kekal bersemangat untuk kembali pulih. Insya-Allah.

Kelmarin, KKM memberi bayangan PKP 2.0 ini mungkin dilanjutkan untuk tempoh sehingga empat minggu jika kes turun sehingga angka 1,000.

Memetik kata-kata Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah, Covid-19 ini adalah berkaitan menyelamatkan nyawa dan kehidupan.

Jadi sebarang langkah yang dilaksanakan mengambil kira impak terhadap sektor ekonomi yang secara langsungnya kesan terhadap kehidupan masyarakat.

Ini adalah tempoh penting dan kritikal untuk Malaysia. Kes berkurangan bermaksud ‘lebihan katil’ atau kemampuan hospital merawat pesakit Covid-19.

Jika PKP dan PKPB ini berjalan lancar negara hanya akan dapat melandaikan lekuk jangkitan Covid-19 antara Mei dan Jun depan.

Perkara utama bagi memastikan kemenangan melawan Covid-19 ini adalah sikap orang ramai sendiri dalam mematuhi arahan kerajaan.

Apa-apa usaha baik akan diganjari dengan balasan baik, lebih-lebih lagi dalam usaha melawan pandemik yang tidak berpenghujung ini.-K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI