fbpx

Pesawat Pakistan International Airlines ditahan di KLIA

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

PUTRAJAYA – Kementerian Pengangkutan (MOT) mengesahkan sebuah pesawat milik Pakistan International Airlines (PIA) ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang hari ini.

MOT menjelaskan, pesawat tersebut ditahan sementara menunggu prosiding mahkamah secara inter-parte yang dijadualkan pada 24 Januari ini.

“Kementerian mengambil maklum permintaan media untuk memberi maklum balas berhubung pesawat PIA yang didakwa ditahan di negara ini,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Katanya, pihak kementerian tidak akan membuat kenyataan bagi menghormati proses perundangan yang sedang berlangsung.

Agensi berita antarabangsa, Reuters melaporkan pesawat itu ditahan berkait kes mahkamah di Britain.

Menurut agensi itu, rundingan diplomatik berkaitan penahanan itu kini berlangsung antara Suruhanjaya Tinggi Pakistan di Malaysia dengan pihak berkuasa tempatan.

Sementara itu, laman media sosial rasmi PIA melaporkan, kesemua penumpang pesawat berkenaan berada dalam keadaan yang selamat.

Tambahnya lagi, penumpang pesawat terlibat sedang diuruskan untuk penerbangan alternatif ke Pakistan dan dijangka berlepas menaiki pesawat Emirates pada malam ini.

Menerusi laman sosial itu, PIA menyifatkan situasi (penahanan) itu sebagai satu tindakan yang tidak boleh diterima.

“Kami (PIA) sudah mendapatkan sokongan daripada kerajaan (Pakistan) bagi membolehkan isu berkenaan diselesaikan menerusi saluran diplomatik,” katanya.-K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI