fbpx
INDUSTRI pelancongan antara yang bakal terjejas akibat larangan merentas daerah sepanjang tempoh pelaksanaan PKP bermula hari ini. – GAMBAR HIASAN

Hilang RM10 bilion akibat PKP 2.0

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di enam negeri selama dua minggu bermula hari ini dijangka akan mengakibatkan kerugian berjumlah RM10 bilion.

GSC-CIMB dalam nota penyelidikan yang dikeluarkan berkata, pelaksanaan PKP 2.0 tahun ini diunjurkan melibatkan kerugian berjumlah RM0.75 bilion setiap hari, lebih rendah berbanding
kerugian RM2.4 bilion sehari yang dialami negara ketika pelaksanaan PKP tahun lalu.

Ia bagaimanapun lebih tinggi berbanding unjuran kerugian harian sewaktu pelaksanaan PKP Bersyarat (PKPB) iaitu sebanyak RM0.2 bilion.

Firma penyelidikan ekonomi itu berkata, memandangkan terdapat risiko PKP akan dilanjutkan selepas 26 Januari, pengenalan langkah tambahan mungkin perlu untuk menyokong ekonomi.

“Kerajaan boleh mempercepatkan atau menambah langkah yang diumumkan di bawah Bajet 2021 termasuk pembayaran tunai, meskipun kekangan fiskal terutamanya melibatkan had hutang
kerajaan akan mengekang kemampuannya untuk mengumumkan langkah fiskal besar dalam jangka masa terdekat.

“Selain itu, kami menjangka Bank Negara Malaysia akan mempertimbangkan pelonggaran dasar monetari pada mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) 20 Januari ini.

“Kami tidak menolak kemungkinan kadar dasar semalaman, yang kini berada pada paras 1.75 peratus akan dipotong lagi,” katanya.

Kerajaan kelmarin mengumumkan pelaksanaan PKP di Pulau Pinang, Selangor, Wilayah Persekutuan, Melaka, Johor dan Sabah selama 14 hari berkuatkuasa hari ini sehingga 26 Januari.

PKPB dijalankan di enam negeri iaitu Kedah, Perak, Pahang, Negeri Sembilan, Terengganu dan Kelantan manakala Perlis serta Sarawak pula akan meneruskan pelaksanaan PKP Pemulihan.