fbpx

Laluan mudah Aniq Suhair

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ANIQ SUHAIR

JEJAKA tinggi lampai yang bernama Aniq Suhair terlebih dahulu menghulurkan salam perkenalan menerusi program realiti Hero Remaja 2020 awal tahun lalu.

Berbekalkan rupa paras kacak persis pelakon seberang, Nicholas Saputra, menjadi nilai tambah buat pendatang baharu kelahiran Kuala Lumpur itu membawa dirinya ke depan.

Bukan mudah menempatkan diri, namun dia antara yang bertuah mengisi 12 kuota senarai yang dicari.

BERPERSONALITI introvert, Aniq mengakui penyertaannya dalam pencarian Hero Remaja 2020 pada awalnya sekadar suka-suka.

Bayangkan daripada 600 calon yang hadir ke sesi uji bakat sekitar Mac lalu, anak sulung daripada empat beradik itu berjaya meloloskan diri sebagai salah seorang peserta.

“Mahu dijadikan cerita, sebenarnya saya langsung tidak pernah terfikir untuk sertai Hero Remaja. Saya merupakan seorang yang introvert. Kurang bersosial dan lebih gemar bersendiri.

“Entah bagaimana, hati tiba-tiba terdetik untuk mencuba. Jadi saya beranikan diri untuk hadir uji bakat tanpa pengetahuan ibu bapa,” ujarnya bercerita kepada HibGlam baru-baru ini.

GAGAL merangkul mana-mana tempat teratas dalam Hero Remaja 2020 tidak pernah menutup peluang untuk Aniq bersinar sebagai pelakon baharu.

Pemilik nama lengkap Aniq Suhair Mohd. Salleh, 20, itu memberitahu, cubaan suka-suka berkenaan tidak disangka berjaya menempatkannya sehingga pusingan akhir dan bergelar finalis.

Waima rezeki tidak menyebelahinya untuk merangkul gelaran juara mahupun kedudukan tiga teratas, jejaka berzodiak Sagitarius itu tetap bersyukur atas peluang dan ruang yang diberikan.

Rezeki berlakon

Usai menyertai program berkenaan yang ditunda hingga ke bulan Julai gara-gara pandemik Covid-19 yang membadai, Aniq mula menyusun atur perjalanan kariernya.

Benar kata orang, rezeki tidak pernah salah alamat. Begitu juga yang dilalui Aniq apabila lembaran karier sebagai pelakon terbuka luas menerusi debut dalam drama berjudul Kebaya Kasut Kanvas.

PADA usia 20 tahun, Aniq bersyukur kerana lembaran rezeki buatnya terbuka luas dan dipermudahkan sejak mula menceburi dunia hiburan.

Walaupun namanya kurang popular berbanding rakan-rakan seangkatan, namun soal rezeki sememangnya satu hal yang termaktub di tangan Tuhan apabila dia pantas dilamar rumah produksi.

“Alhamdulillah mungkin ini rezeki dan secara tidak langsung ini peluang keemasan saya mencorak karier sebagai pelakon.

“Kepercayaan produksi memilih saya untuk berganding dengan nama-nama besar menerusi drama tersebut amat dihargai,” ujarnya yang memegang watak sebagai Mohd. Radzi dalam drama bersiri 40 episod tersebut.

Tidak terhenti setakat itu, karier seninya terus mengembang mekar apabila ditawarkan berlakon drama Lelaki Lingkungan Cinta arahan sutradara Emi Suffian.

Menerusi naskhah bergenre cinta dan komedi berkenaan, Aniq berganding bahu bersama beberapa pelakon muda seperti Naim Daniel, Shasha Abedul, Cik B, Ismail Izzani dan Shalma Eliana.

NAMA Aniq sensasi selepas digosipkan bercinta dengan anak jutawan kosmetik Datuk Seri Vida, Cik B.

Bukan sekadar kerana kekacakan dimiliki yang berjaya mencuri hati para gadis khususnya, namun kisah cinta palsu yang direka bersama Cik B ketika di luar set lokasi benar-benar memberi impak kepada Aniq.

Manakan tidak, ramai yang patah hati, namun tidak kurang ada yang memberi sokongan penuh sehingga nama mereka sohor kini internet.

Hinggalah akhirnya mereka tampil menjelaskan hubungan tersebut sekadar rekaan semata-mata untuk tujuan publisiti.

Tunda pengajian

Meneruskan perbualan kepada hal peribadi, dek jadual yang begitu padat dengan kerja, pemuda berkulit cerah itu memberitahu dia terpaksa menunda pengajian di peringkat Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Perniagaan (Pemasaran) di City University, Kuala Lumpur buat sementara waktu.

SELAIN kerjaya seni, pendidikan menjadi keutamaan bagi Aniq agar selari dengan apa yang dilakukannya kini.

“Kalau ikutkan, sekarang sudah masuk semester pertama. Cuma kerana terlalu sibuk, saya ambil keputusan untuk menunda pengajian.

“Insya-Allah jika tiada aral melintang, saya akan menyambung semula pengajian yang tertangguh. Sibuk macam mana sekali pun, saya perlu bijak menyusun atur jadual demi memastikan pendidikan tidak tercicir di belakang,” katanya yang tidak mempunyai pengurus.

Filem debut

Sementara itu, menyentuh mengenai perjalanan karier pula, Aniq sama sekali tidak pernah menyangka dirinya yang masih hijau dan mentah dalam industri dilamar membintangi sebuah filem seram.

Selepas tamat penggambaran drama terbaharu, Tak Sempurna Mencintaimu yang dibintangi pelakon Intan Najuwa, jadualnya disambung dengan filem berkenaan.

ANIQ memberitahu buat masa ini dia hanya ingin memberi fokus penuh terhadap karier lakonan sebelum bersedia melebarkan sayap kepada cabang seni lain.

“Jika semuanya berjalan lancar, pertengahan atau penghujung tahun ini penggambaran filem tersebut akan bermula.

“Ini merupakan satu perkara yang boleh dibanggakan bagi diri saya. Permulaan tahun baharu yang baik dengan kurniaan rezeki ini,” ujarnya yang mengimpikan untuk mencuba watak aksi dan psiko suatu hari nanti jika diberi peluang.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI