fbpx
Tangkap layar video yang tular menunjukkan perselisihan faham antara sekumpulan lelaki di sebuah premis hiburan di Taman Ungku Tun Aminah, Johor Bahru kelmarin.

Gaduh sebab kekasih diganggu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU – Tiga lelaki ditahan hari ini dipercayai terlibat dalam kejadian pergaduhan di sebuah pusat hiburan di Taman Ungku Tun Aminah di sini kelmarin.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, ketiga-tiga suspek yang ditahan berusia antara 21 hingga 28 tahun.

Jelasnya, usaha untuk menahan saki-baki suspek yang terlibat dalam kejadian itu masih diteruskan polis.

“Ekoran satu video tular yang menunjukkan pergaduhan sekumpulan lelaki di sebuah kelab malam dan di kaki lima premis berkenaan, polis telah bertindak menahan tiga orang suspek lelaki.

“Punca pergaduhan dipercayai berlaku apabila salah seorang daripada teman wanita pengunjung kelab malam itu diganggu,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Ayob Khan berkata, pergaduhan mula tercetus apabila terdapat pengunjung yang mengambil kesempatan sehingga terjadi pergaduhan sesama mereka.

Tegasnya, polis turut menjalankan siasatan sama ada insiden terbabit melibatkan sebarang elemen kongsi gelap.

“Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 148 dan 324 Kanun Keseksaan,” ujarnya.

Sementara itu, Ayob Khan berkata, susulan kejadian itu, polis melakukan serbuan ke atas premis hiburan berkenaan pada pukul 10 malam semalam.

Katanya, hasil siasatan mendapati premis terbabit beroperasi tanpa lesen hiburan serta melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

“Premis terbabit sebelum ini telah diambil tindakan sebanyak empat kali di bawah Enakmen Hiburan, manakala serbuan kali ini dibuat mengikut Seksyen 6(2) Enakmen Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan Negeri Johor 4/98,” katanya. – K! ONLINE

POPULAR