fbpx

Pastor warga Korea didakwa lagi kes cabul lelaki

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Jong-hoon didakwa di Mahkamah Majistret George Town hari ini atas pertuduhan mencabul seorang lelaki 20 tahun lalu.

GEORGE TOWN – Seorang pastor orang kurang upaya (OKU) pekak dan bisu warga Korea Selatan dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan mencabul kehormatan seorang lelaki 20 tahun lalu.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh, Jee Jong-hoon, 54, di hadapan Majistret Rosnee Mohd. Ridzuan.

Mengikut pertuduhan, Jong-hoon didakwa menggunakan kekerasan jenayah ke atas seorang lelaki yang kini berusia 40 tahun dengan cara menyentuh kemaluan, memeluk, mencium pipi dan bibir dengan niat mencabul kehormatannya.

Bapa kepada dua cahaya mata itu didakwa melakukan kesalahan tersebut di sebuah rumah di Lorong Delima 3, Gelugor di sini pada tahun 2000.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau dengan denda atau sebatan atau mana-mana dua daripada seksaan itu.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Shahrezal Mohd Shukri, manakala tertuduh diwakili peguam G. Shanmugam.

Mahkamah kemudiannya membenarkan tertuduh dibebaskan dengan jaminan sebanyak RM6,000 beserta seorang penjamin warga tempatan.

9 Februari ini turut ditetapkan sebagai tarikh sebutan semula kes bagi mendapatkan juru bahasa isyarat antarabangsa dan juru bahasa Korea.

Selain itu, tertuduh turut diperintahkan melapor diri di balai polis berdekatan pada setiap 29 haribulan dan tidak boleh mengganggu mangsa.

Terdahulu, pada 18 Disember lalu, Jong-hoon dibebaskan dengan ikat jamin sebanyak RM10,000 oleh Mahkamah Majistret Butterworth dekat sini atas dua pertuduhan mencabul kehormatan dua lelaki pada 2013 dan 2017.

Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan kerana ketiadaan jurubahasa isyarat bagi membaca pertuduhan selain tertuduh hanya memahami bahasa Korea. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI