fbpx

Covid-19 bukan penghalang usaha pemerkasaan sektor awam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Muhyiddin.

MELAKA – Cabaran penularan Covid-19 yang dihadapi hari ini tidak seharusnya menjadi penghalang untuk melaksanakan usaha-usaha memperkasakan sektor awam ke arah sistem perkhidmatan yang lebih cekap, telus dan mesra rakyat.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kakitangan awam perlu membudayakan norma baharu dalam cara kerja supaya perkhidmatan kerajaan dapat disampaikan secara efektif kepada golongan bersasar.

Katanya, dalam dalam meneruskan agenda itu, kerajaan juga telah menekankan inisiatif untuk menambah baik aspek integriti dan tadbir urus termasuk melalui usaha membanteras amalan rasuah.

“Oleh kerana pihak berkuasa tempatan (PBT) merupakan antara warga kerja barisan hadapan yang sering terdedah dengan tarikan rasuah, maka usaha membanteras jenayah ini perlu kekal sebagai agenda penting yang perlu dilaksanakan meluas dalam kalangan penjawat.

“Ini agar kita dapat mewujudkan sebuah budaya kerja yang berintegriti tanpa berkompromi dengan mana- mana nilai dan etika,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan secara maya Majlis Perasmian Persidangan Perwakilan Tritahunan Kali Ke-27 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh di sini, hari ini.

Turut hadir ialah Presiden Kesatuan Kebangsaan Pekerja-Pekerja Pihak Berkuasa Tempatan Semenanjung Malaysia (ANULEA) Datuk Azih Muda dan Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) Adnan Mat.

Selain itu, beliau turut menyeru agar PBT dan agensi yang berkaitan dapat turun ke lapangan dengan lebih kerap untuk meninjau dan memahami keadaan semasa dan meneliti isu-isu berhubung warga kakitangan yang saban masa bertemu dengan orang ramai untuk menyelesaikan urusan seharian.

“Saya berharap kesatuan berkaitan akan terus memainkan peranan sebagai ‘mata dan telinga’ dalam komuniti setempat dengan kerjasama kementerian perumahan dan kerajaan tempatan (KPKT) dan agensi-agensi di bawah kerajaan negeri termasuk pbt.

“Persidangan perwakilan ini merupakan peluang buat semua warga ANULAE untuk berbincang dan menyuarakan pandangan tentang isu-isu berkaitan kebajikan ahli, justeru, semua pihak perlu bekerjasama memastikan hak dan kebajikan setiap kakitangan awam dapat dipelihara dengan sebaik-baiknya,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI