fbpx
Ali (kanan) bersama rakan kongsi, Khairul Nizam membuat keputusan untuk berniaga di jalanan akibat kemerosotan dalam industri pelancongan impak Covid-19.

Briyani Manja penyambung rezeki

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Cabaran ekonomi yang dibawa pandemik Covid-19 mengakibatkan ramai pekerja terpaksa keluar dari keselesaan pejabat berhawa dingin dan menukar profesion mereka untuk menceburi bidang ekonomi gig atau berniaga kecil-kecilan demi kelangsungan hidup.

Pada usia 56 tahun, seorang ejen pelancongan dan hartanah, Ali Omar meninggalkan pejabatnya di tingkat 11 Wisma Yakin, Jalan Masjid India untuk menjual nasi beriani di tepi Jalan Sri Permaisuri, sebelah Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras.

Bagi anak kelahiran Kluang, Johor ini, tidak salah baginya meninggalkan kebiasaan memegang pen kepada memegang senduk asalkan boleh menjana pendapatan buat keluarga.

“Saya melihat di Kuala Lumpur ini terdapat ramai warga Johor, jadi saya memberanikan diri untuk menjual nasi beriani Johor hasil air tangan sendiri walaupun hanya di tepi jalan.

“Keputusan ini dibuat selepas kerajaan melaksanakan program Lesen Sementara KL Prihatin yang membolehkan peniaga kecil seperti saya berniaga asalkan di lokasi yang bersesuaian, malah kami dikecualikan fi lesen,” katanya ketika ditemui pemberita di gerainya baru-baru ini.

Menurut Ali, dia bersama rakan kongsi yang juga sebelum ini bekerja sebagai ejen pelancongan, Khairul Nizam Ahmad Zaini berniaga di kawasan tersebut setiap hari, bermula pukul 11 pagi sehingga tiga petang sejak pertengahan November lalu.

Menggunakan nama Briyani Manja, terdapat tiga pilihan menu disediakan, iaitu nasi beriani berlaukkan ayam atau daging yang dijual pada RM8 sebungkus manakala nasi beriani kambing berharga RM12.

Jelasnya, dalam perniagaan makanan, persaingan merupakan perkara biasa dan terdapat tiga gerai lain yang turut menawarkan hidangan serupa di kawasan itu.

“Kami memanfaatkan sepenuhnya media sosial seperti Facebook dan Instagram, kedua-dua medium ini sedikit sebanyak membantu pelanggan membuat pesanan selain memberi makluman
mengenai operasi perniagaan Briyani Manja.

“Selain itu, ia juga menyediakan platform untuk memasarkan produk kami yang lain seperti perkhidmatan katering,” katanya.

Operasi Nasi Briyani Manja bermula pukul 11 pagi hingga tiga petang.

Buat pembaca yang berminat untuk terjun dalam perniagaan makanan kecil-kecilan, ini nasihat Ali.

“Pertama sekali, cuba ikuti mana-mana kelas atau belajar mengenai pengurusan perniagaan. Penting bagi seorang peniaga, terutamanya pendatang baharu untuk mengetahui soal kos dan perbelanjaan.

“Selain itu, kos kesemua bahan masakan yang digunakan haruslah tidak melebihi 50 peratus daripada harga jualan untuk mendapat pulangan kompetitif. Kita perlu sentiasa mencari pembekal yang memberi harga terbaik untuk menambah kualiti produk ditawarkan,” katanya.

Orang ramai boleh mengikuti perniagaan Ali di Facebook Briyani Manja.

POPULAR