fbpx
LULI kini hanya menghabiskan masa bersama cucu dan cicitnya di rumah.

Luli bintang filem kontroversi Iban

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

DAHULU dirnya pernah menjadi bualan hangat media Tanah Melayu dan Singapura sekitar era 50-an, kini namanya tidak lagi dikenali.

Itulah nasib Luli Gagat, 85, pelakon wanita Iban pertama di Sarawak.
Luli berusia 17 tahun ketika dia menerima tawaran untuk berlakon bersama lelaki Inggeris, Kenny Buchanan dalam filem antarabangsa berjudul The Long House.

Filem arahan Phani Majumdar tersebut dihasilkan oleh Malay Film Productions (MLF), sebuah anak syarikat perfileman gergasi Hong Kong, Shaw Brothers Ltd. pada tahun 1957.

Filem berwarna dalam format Eastmancolor itu ialah filem pertama yang dirakam sepenuhnya di Sarawak dengan penggambarannya dilakukan di sebuah rumah panjang di Sungai Amang, Kapit.

Filem terbabit mengisahkan seorang lelaki muda Inggeris (dilakonkan oleh Kenny) yang bertemu dan jatuh cinta dengan seorang gadis Dayak Iban bernama Luli (dilakonkan oleh Luli) di sebuah rumah panjang di pedalaman Sarawak.

Namun, hubungan mereka menerima tentangan oleh pemimpin suku mereka dan orang tua di rumah panjang kerana perbezaan adat istiadat, agama dan budaya.

Semasa filem The Long House pertama kali disiarkan di pawagam, filem itu mendapat sambutan yang hangat. Bagaimanapun, lama-kelamaan filem tersebut mula mendapat kritikan kerana watak yang dilakonkan Luli tidak mengenakan sebarang baju dan menampakkan payudaranya sepanjang filem itu.

 

WANITA yang kini berusia 85 tahun ini ialah pelakon wanita Iban pertama Sarawak.

 

Ini berikutan watak yang dilakonkan merupakan watak seorang gadis Iban yang realitinya ketika itu sememangnya tidak memakai kain untuk menutupi payudara mereka menurut asal usul budaya kaum Iban.

Watak Luli juga sebenarnya menepati skrip filem itu yang menitikberatkan ciri-ciri realisme atas nama seni selain memperkenalkan kehidupan masyarakat kaum Iban di rumah panjang kepada seluruh dunia.

Namun demikian, filem yang mempunyai elemen frontal nudity atau pendedahan tubuh badan ini tetap juga dianggap kurang sesuai tontonan kanak-kanak bawah umur di luar Sarawak kerana perbezaan budaya walaupun ketika itu belum ada lagi undang-undang censorship atau tapisan filem di Tanah Melayu dan Singapura.

Hal ini menyebabkan filem itu menjadi mangsa klasifikasi sebagai restricted (terhad) atau totally banned (dilarang sama sekali) untuk tontonan dan sukar untuk dijadikan bahan rujukan di zaman ini. Akhirnya, filem ini juga tergolong sebagai karya yang hilang kerana sukar untuk dicari lagi pada masa ini.

 

KERATAN akhbar yang menunjukkan sambutan yang diterima Luli selepas penayangan filem The Long House.

Ketika ditemui di kediamannya di Jalan Banjaran Serapi, Kuching, Sarawak baru-baru ini, Luli yang kini berusia 85 tahun berkongsi kenangannya semasa penggambaran filem itu.

Menurut Luli, ketika ‘dilamar’ untuk melakonkan watak Luli dalam filem itu, pada mulanya dia berasa takut dan janggal untuk bekerja bersama rombongan pengurusan filem yang hadir ke rumah panjangnya.

“Disebabkan dorongan dan sokongan adik-beradik serta saudara-mara saya ketika itu, selain diberitahu penggambaran filem dilakukan di sekitar kawasan rumah panjang saya sendiri, saya akhirnya menerima tawaran tersebut,” katanya.

Luli mendedahkan cabaran besar baginya adalah ketika rakaman adegan yang mempunyai dialog.

“Aku enda nemu jaku sida, sida enda nemu jaku aku,” katanya kepada pihak media yang membawa maksud: ‘Saya tidak faham percakapan mereka, mereka tidak faham percakapan saya’.

Semasa berlakon, Luli terpaksa bertutur dalam bahasa asing yang dirinya sendiri tidak faham, maka di belakangnya akan ada seorang pembantu set yang fasih berbahasa Iban dan Inggeris untuk memberikannya isyarat bagi setiap dialog dan gerak-gerinya.

Luli ditemani bapa saudaranya kemudian terbang ke Singapura pada tayangan perdana filem itu dan tampil membuat persembahan nyanyian di sebuah panggung yang direka seperti replika rumah panjang.

Mereka juga berpeluang menjelajah di setiap pawagam Shaw di Tanah Melayu dan rata-ratanya Luli mendapat pujian dan ulasan positif oleh akhbar tempatan dan asing kerana bakat lakonannya.

Luli turut berkongsi kenangannya bersama seorang wanita bernama Margaret yang merupakan salah seorang pegawai Rajah Brooke yang telah menjaganya dengan baik ketika penyiaran filem The Long House.

“Ketika filem ini pertama kali ditayangkan, saya diundang ke Singapura dan diminta menunjukkan budaya kaum Iban termasuk meminta saya tidak berpakaian dan mendedahkan payudara saya seperti di dalam filem.

“Margaret adalah orang pertama menolak permintaan yang dibuat orang-orang asing tersebut. Beliau berkeras kerana mahu menjaga maruah saya. Oleh itu, saya sangat bersyukur kerana beliau membela saya dan akhirnya saya tidak perlu bertelanjang di Singapura,” ujarnya.

 

NORHYATI (kanan) menziarahi Luli di kediaman bintang yang sudah dilupakan itu di Kampung Banjaran Serapi, Kuching.

 

Luli mengimbau Margaretlah juga yang banyak membantunya dalam persiapan ke Singapura dengan mengajarnya cara memakai kasut dan makan menggunakan sudu dan garpu.

Kini, Luli tinggal bersama dengan cucu perempuannya, Nesfamita Anthony di rumahnya di Jalan Banjaran Serapi. Luli mempunyai lima anak, 15 cucu dan 10 cicit.

Luli hanya duduk di dalam rumah bersama cucu dan cicit. Rutin hariannya termasuklah menonton televisyen dan membuai cicitnya yang berusia empat bulan. Kedua-dua kakinya sudah lemah dan dia hanya duduk bersandar di atas kerusi malas. Jika mahu ke tandas, dia perlu berjalan perlahan bagi mengimbangi dirinya.

Mengulas penglibatannya dalam filem The Long House, Luli mengakui bahawa dia berada sedih kerana filem itu sukar didapati pada masa ini.

“Saya juga berasa sedih kerana tidak lagi dihargai meski memegang gelaran pelakon wanita Iban pertama di Sarawak. Nama saya tiada dalam sejarah Sarawak. Lebih-lebih lagi apabila filem The Long House ialah filem pertama di Asia Tenggara menggunakan format filem berwarna, malah sebelum filem-filem arahan Tan Sri P. Ramlee.

Dahulu nama saya popular namun semua itu tenggelam dan tidak lagi diingati seolah-olah pembikinan filem itu tidak wujud. Jika saya menceritakan kepada orang, mereka tidak akan mempercayai saya kerana tiada bahan filem yang boleh dijadikan bukti,” katanya.

Luli turut menyifatkan kontroversi mengenai pendedahan payudaranya dalam filem sebagai suatu penghinaan ke atas budaya kaum Iban.

“Hanya kerana watak gadis Iban yang dibawa saya dikira tidak sesuai untuk tontonan, filem itu telah ditolak. Saat itu membuatkan saya merasa malu dan ini menunjukkan bahawa orang luar tidak menghormati budaya kaum Iban,” katanya lagi.

Luli mengakui penglibatannya dalam filem itu telah membuatkannya jatuh hati akan industri seni namun tidak pernah mendapat mana-mana tawaran selepas itu.

“Kini saya sudah tua, kalau ada tawaran sekalipun, saya tidak akan mampu berlakon lagi kerana faktor usia dan kesihatan. Saya cuma kesal dengan hilangnya filem itu dan nama saya yang pernah dipuja suatu ketika dahulu tidak lagi diingati,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN