fbpx
ANGGOTA bomba membawa mangsa lemas yang terjatuh dari jambatan naik ke tebing di sini hari ini.

Lelaki jatuh jambatan kelmarin ditemui lemas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BATU GAJAH – Seorang lelaki yang dilaporkan hilang selepas terjatuh ke dalam sungai di jambatan menghubungkan Kampar dan Tanjung Tualang di sini kelmarin, ditemui mati lemas hari ini.

Mangsa, L. Ramathevan, 22, yang tersangkut pada longgokan sampah di tebing sungai itu dijumpai pasukan penyelamat pada pukul 12.40 tengah hari.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Batu Gajah, Mohd. Norshah Shahri berkata, mayat lelaki itu ditemui kira-kira satu kilometer dari tempat kali terakhir mangsa dilihat.

Katanya, mayat mangsa segera dibawa naik ke tebing dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

“Operasi mencari mangsa bermula sebaik sahaja kita dimaklumkan mengenai kejadian itu kelmarin dan khidmat dua ekor anjing pengesan (K9) turut digunakan bagi membantu mengesan mangsa.

“Dalam operasi selama tiga hari itu juga, enam buah bot digunakan selain melakukan kaedah pencarian di permukaaan air di kiri dan kanan tebing sungai sebelum mangsa berjaya dijumpai hari ini,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Menurut beliau, operasi mencari mangsa melibatkan 21 anggota bomba dari BBP Batu Gajah, Pasir Puteh dan Kampar selain Unit Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) dan K9.

“Operasi turut dibantu enam anggota polis, tiga anggota Rela dan 18 anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM),” katanya

Dalam kejadian kira-kira pukul 2.29 petang kelmarin, seorang lelaki dihanyutkan arus deras selepas terjatuh ke dalam sungai di jambatan yang menghubungkan Kampar dan Tanjung Tualang. – K! ONLINE

POPULAR