fbpx

[VIDEO] Ku Nan dipenjara 12 bulan, denda RM2 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tengku Adnan.

KUALA LUMPUR – Bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor atau Ku Nan dijatuhi hukuman penjara 12 bulan dan denda RM2 juta selepas didapati bersalah oleh Mahkamah Tinggi di sini sebentar tadi atas pertuduhan menerima rasuah RM2 juta berhubung tugas rasminya empat tahun lalu.

Hakim Mohamed Zaini Mazlan membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes itu.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh dipenjara enam bulan lagi sekiranya tertuduh gagal membayar jumlah denda itu.

Bagaimapun mahkamah menanggungkan kedua-dua hukuman itu sementara menunggu rayuan.

Ketika membaca penghakiman selama kira-kira 25 minit, Mohamed Zaini berkata, wang RM2 juta yang diterima meragukan apabila tertuduh mengatakan wang itu didermakan untuk dua kawasan Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Besar dan Kuala Kangsar sedangkan tertuduh merupakan ahli parlimen kawasan lain.

“Tertuduh ketika itu hanya selaku Setiausaha UMNO malah bukan ahli parlimen kawasan bagi dua PRK berkenaan. Maka timbul keraguan, apabila wang itu dikatakan digunakan untuk PRK tersebut,” katanya.

Sementara itu Mohamed Zaini dalam penghakimannya turut membidas keterangan tertuduh bahawa pertuduhan terhadapnya adalah tidak relevan dan merupakan helah politik oleh musuh politik UMNO.

Katanya, tertuduh bukan satu-satunya ahli politik yang didakwa atas tuduhan rasuah selain tiada sentimen dalam keputusan mahkamah dan ia dibuat semata-mata berdasarkan undang-undang dan bukti yang dikemukakan ketika perbicaraan.

“Badan kehakiman tidak mengambil bahagian dalam hal politik dan kebebasannya (kehakiman) adalah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Sekiranya terdapat kesalahan yang dilakukan oleh mana-mana pihak atau individu, maka, adalah menjadi tugas mahkamah untuk membetul dan menghukum pesalah,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI