fbpx
FARISHA bertindak sebagai hos menjelajah serata tanah air mencari para ilmuan wanita untuk diajak berkongsi cerita.

Kisah wanita hebat dalam Mencari Kanzun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MENGEMBARA ke seluruh negara dengan membuat pelbagai kajian mengenai ilmuwan wanita untuk dimuatkan dalam program travelog terbaru Mencari Kanzun sebenarnya memberi cabaran besar buat produksi Kembara Sufi Production Sdn. Bhd. sejak beberapa bulan lalu.

Ditambah dengan kekangan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan pada masa sama perlu berwaspada dengan pandemik Covid-19 yang semakin membimbangkan membuatkan semua kru produksi perlu berhati-hati.

Selaku penerbit, Jaja Ishak menganggap apa yang dilalui sebagai pengalaman yang sungguh bermakna buat mereka memandangkan pelbagai cabaran terpaksa diharungi sejak beberapa bulan lalu.

JAJA ISHAK

“Memang ini cabaran untuk kami menyiapkan Mencari Kanzun memandangkan pelbagai proses perlu dilakukan bagi menyiapkan program travelog ini.

“Daripada proses mengenal pasti ilmuwan wanita yang terpilih, kru produksi terutamanya penulis skrip perlu membuat kajian lapangan.

“Mereka bukan sahaja mengembara ke seluruh negara tetapi pada masa yang sama terpaksa menjejaki waris memandangkan ada dalam kalangan ilmuwan wanita yang diangkat sudah pergi buat selama-lamanya,” kata Jaja.

Bagi Jaja, idea penghasilan Kanzun tercetus daripada sesi perbincangan dengan salah seorang rakannya sebelum ini.

Kebanyakan program yang diterbitkan sebelum ini banyak memberikan fokus kepada ilmuwan lelaki dan ulama sahaja. Jarang sekali memaparkan kehebatan kaum wanita.

Idea tersebut kemudian dicanai oleh Thaqib Mohammad selaku penulis skrip yang memang sudah berpengalaman dalam penerbitan program sedemikian.

Menggunakan tema ‘meneroka kesinambungan keilmuan wanita di negara sendiri’, sebenarnya Malaysia menyimpan seribu satu khazanah dan sejarah yang bernilai dan bakal didokumentasikan dalam Mencari Kanzun.

“Kita tidak membuat penggambaran secara sendirian sebaliknya mendapat kerjasama daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Kementerian Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat, beberapa Jabatan Agama Islam, Majlis Ugama Islam & Adat Resam Melayu serta Jabatan Mufti di negeri terpilih.

“Mereka bukan sahaja memberikan maklumat lengkap mengenai ilmuwan terpilih tetapi pada masa yang sama memberikan input dan cadangan lain untuk menambah naik program ini,” tambahnya lagi.

FARISHA sewaktu di lokasi penggambaran Mencari Kanzun.

Program sebanyak 13 episod yang bakal ditayangkan menerusi RTM tersebut turut mendapat Geran Dana Kandungan Digital (DKD) daripada Perbadanan Kemajuan Filem Negara Malaysia (Finas).

Bantuan dan kepercayaan yang diberikan Finas dan RTM secara tidak langsung membuatkan pasukan produksi lebih bersemangat menghasilkan karya terbaik, pada masa sama mengikut lunas yang sepatutnya.

“Ini antara program yang lain daripada yang lain. Saya berterima kasih kepada Finas dan berharap karya ini akan menambat hati penonton seterusnya memberikan ilmu baharu kepada semua,” katanya.

Diarahkan oleh Abidin Azizi, Mancari Kanzun dikendalikan oleh penyanyi muda Farisha Iris sebagai pengacara dan bakal menemui penonton tahun hadapan.

POPULAR