fbpx

MKN terima 3,836 laporan kes insiden siber setakat 30 November lalu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

PUTRAJAYA – Majlis Keselamatan Negara (MKN) melaporkan sebanyak 3,836 kes insiden siber diterima oleh organisasi sektor awam setakat 30 November lalu.

MKN menerusi kenyataan akhbar berkata, daripada kes insiden siber yang dilaporkan itu, 31.5 peratus adalah membabitkan pencerobohan dan 53.19 peratus kes pula adalah jangkitan malware.

Menurutnya, insiden siber itu boleh menjejaskan imej dan reputasi agensi yang seterusnya memberi kesan negatif kepada kepercayaan pemegang taruh dalam usaha untuk meningkatkan lagi kualiti perkhidmatan.

“Serangan Advanced Persistent Threat (APT), ransomware dan pencerobohan sistem  ICT Kerajaan adalah isu serius yang perlu diatasi kerana ianya boleh menyebabkan berlakunya ketirisan maklumat strategik, menjejaskan operasi dan mencalar imej.

“Kesannya, keselamatan dan kedaulatan negara terjejas; ekonomi dan kestabilan politik tergugat; serta kesejahteraan rakyat terancam,” katanya.

MKN berkata, bagi mengatasi ancaman berkenaan, kerajaan melancarkan Strategi Keselamatan Siber Malaysia (MCSS) pada 12 Oktober lalu.

Jelasnya, strategi itu menggariskan tindakan strategik bagi menangani ancaman siber yang semakin meningkat melalui pendekatan bersepadu meliputi pelbagai aspek keselamatan siber secara holistik dan terselaras.

Menurut MKN lagi, lanjutan daripada pelancaran MCSS, kerajaan mewujudkan satu struktur tadbir urus keselamatan siber.

“Mesyuarat pertama Jawatankuasa Keselamatan Siber Negara (JKSN) diadakan pada semalam yang dipengerusikan Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

“Mesyuarat memutuskan untuk menubuhkan satu kumpulan kerja bagi menyelaras inisiatif penilaian dan pengukuhan keselamatan siber terhadap agensi-agensi sektor awam kritikal yang terpilih. Sebanyak 16 agensi dikenal pasti bagi inisiatif itu.

“Selain itu, kerajaan juga akan menggubal undang-undang mengenai keselamatan siber termasuk mewujudkan Pasukan Petugas Khas bagi mengenal pasti dan mengkaji isu-isu berkaitan keselamatan siber,” katanya.

Katanya, pelaksanaan MCSS juga merangkumi tindakan perlindungan ke atas sistem-sistem kritikal pihak swasta dan persendirian.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI