UNGKU AZIZ (kanan) bersama isterinya, Azah Aziz ( dua dari kiri) pada majlis konvokesyen anaknya, Zeti Akhtar di UM pada tahun 1970.

K2

Tabung Haji lahir daripada idea hebat Ungku Aziz

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

UMUM mengetahui bahawa Lembaga Tabung Haji (TH) merupakan satu institusi kewangan Islam yang utama di Malaysia yang bertanggungjawab untuk mengurus urusan pelaksanaan ibadah haji.

Di sebalik kejayaan TH menjadi perintis dalam institusi kewangan Islam yang memudahkan umat Islam menyimpan bertujuan mengerjakan haji, Profesor Diraja Ungku Abdul Aziz Ungku Abdul Hamid menjadi insan terpenting sehingga tertubuhnya institusi tersebut.

Ketika usianya menjengah 37 tahun, beliau mengemukakan kertas kerja bertajuk Rancangan Membaiki Ekonomi Bakal-Bakal Haji yang ditulis pada 30 September 1959 kepada kerajaan.
Idea luar biasa yang dikemukakan olehnya itu telah membolehkan TH ditubuhkan pada tahun 1969.

Namun, negara kini kehilangan insan berjasa itu setelah Ungku Aziz menghembuskan nafas terakhirnya kelmarin (Selasa) di Hospital Prince Court, Kuala Lumpur pada pukul 4.30 petang.
Beliau yang berumur 98 tahun, mengalami sakit tua dan dimasukkan ke hospital sejak dua bulan lalu.

Dilahirkan di London, United Kingdom pada tanggal 28 Januari 1922, Ungku Aziz merupakan seorang tokoh yang amat disegani dalam bidang ekonomi dan pendidikan.

Ungku Aziz merupakan keturunan diraja Johor dan bapanya, Ungku Abdul Hamid Ungku Abdul Majid adalah seorang tentera berpangkat Leftenan dalam pasukan tentera Timbalan Setia Negeri Johor (JVC).

Ibunya, Hamidah Abdullah seorang rakyat Turki yang beragama Islam.
Pada 1924, ibunya meninggal dunia ketika Ungku Aziz berusia dua tahun.

 

KELAHIRAN Tabung Haji adalah cetusan idea bernas daripada Ungku Aziz yang mahu melihat anak bangsanya tidak dibelenggu kemiskinan. – gambar hiasan

 

Setelah dilahirkan di London, beliau dibawa pulang ke Batu Pahat, Johor.

Mengimbau kembali waktu kecilnya, Ungku Aziz mendapat pendidikan awal di Sekolah Rendah Ngee Heng, Johor Bahru dan seterusnya di Maktab Sultan Abu Bakar juga di Johor Bahru.

Ungku Aziz yang lebih mesra disapa sebagai Pak Ungku kemudian menyambung pengajian di Universiti Malaya Singapura dan mendapat Ijazah Ekonomi pada tahun 1951.

Pada tahun 1964, beliau berjaya mendapat Ijazah Doktor Falsafah dalam bidang ekonomi di Universiti Waseda, Tokyo, Jepun.

Ungku Aziz telah menyertai Perkhidmatan Awam Johor (JCS) pada 1951 dan kemudiannya menjadi pensyarah Ekonomi di Universiti Malaya Singapura dari tahun 1952 hingga 1961.

Beliau juga telah dilantik sebagai Profesor dan Dekan di Fakulti Ekonomi, Universiti Malaya, Kuala Lumpur pada tahun 1965.

Selain itu, beliau merupakan Naib Canselor Universiti Malaya yang paling lama berkhidmat dari 1968 hingga 1988.

 

PELAJAR cemerlang, Awang Sabtu Pengiran Tahir (kanan) daripada Koperasi Pekerja Kerajaan Sabah Berhad, menerima skrol daripada Naib Canselor UM, Datuk Dr. Hashim Yaacob pada majlis penyampaian Sijil Perakaunan Koperasi pada 21 Jun 2003. Kelihatan
Ungku Aziz (kiri) yang merupakan Yang Dipertua Angkasa ketika itu.

 

Dalam pada itu, ketika ditemu bual oleh Utusan Malaysia suatu ketika dahulu, Ungku Aziz menjelaskan, dia menubuhkan TH sebagai salah satu cara membantu ekonomi orang Melayu.

“Saya lihat orang kampung menjual kambing, kerbau atau tanah mereka untuk menunaikan haji. Sekembalinya dari sana, mereka tiada ternakan dan sumber rezeki lagi.

“Sebab itu, saya cetuskan idea penubuhan Lembaga Urusan Tabung Haji (LUTH). LUTH sebenarnya membantu ekonomi orang Melayu untuk jangka masa panjang,” katanya.

Sementara itu, Ungku Aziz juga berkahwin dengan Sharifah Azah Mohammad Alsagoff yang lebih dikenali sebagai Azah Aziz.

Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan seorang anak perempuan iaitu Tan Sri Dr. Zeti Akhtar yang juga merupakan bekas Gabenor Bank Negara Malaysia.

Pada tanggal 9 Julai 2012, isteri tercintanya yang juga seorang tokoh budayawan Melayu telah kembali mengadap Ilahi.

Sepanjang hayatnya, beliau telah mendapat beberapa anugerah dan antaranya adalah gelaran Profesor Diraja Ekonomi dalam bidang Pembangunan Luar Bandar yang diperolehnya pada 1978.

Selain itu, Ungku Aziz juga telah dianugerahkan Hadiah Budaya Asia Fukuoka IV pada tahun 1993.

Hadiah tersebut adalah satu anugerah dari bandar Fukuoka dan Yayasan Yokatopia sebagai memberi penghormatan terhadap sumbangan menonjol individu atau pertubuhan dalam memelihara atau membentuk kebudayaan Asia.

Dalam pada itu, selain memberi idea sehingga tertubuhnya Tabung Haji, hasil cetusan pemikiran Ungku Aziz juga membolehkan Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) ditubuhkan pada 1971.

Sepertimana yang diketahui, Ungku Aziz amat prihatin dengan nasib orang Melayu dan antara fokus kajiannya adalah berkaitan kemiskinan orang Melayu.

Dalam satu wawancara bersama akhbar Mingguan Malaysia pada tahun 2004, Ungku Aziz menjelaskan, ada dua perkara yang boleh mengubah nasib orang Melayu pada jangka panjang iaitu pendidikan dan pemakanan yang seimbang.

 

UNGKU AZIZ (tengah) menerima ucapan tahniah daripada isterinya (Azah Aziz) sambil diperhatikan anaknya, Zeti Akhtar selepas menerima anugerah Tuanku Syed Putra daripada Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Syed Putra Jamalullail di Balai Rong Seri Istana Arau pada 29 Mac 2007.

 

“Pada masa sama, kita harus mengubah perenggu minda (mindset) orang Melayu. Kalau kita lihat secara keseluruhannya, orang Melayu tidak cenderung mahu mencapai kecemerlangan dalam bidang diceburi.

“Orang Melayu ada pemikiran yang bersungguh-sungguh mahu berjaya, tetapi tidak ada motivasi mahu belajar secara berterusan seperti orang Jepun dan Eropah. Mereka ada pemikiran itu kerana mahu berjaya. Bangsa Cina juga begitu, selalu berfikir bagaimana mahu memperbaiki diri. Kita harus mencari jalan bagaimana hendak memberi motivasi kepada orang Melayu supaya berubah,” katanya.

Ungku Aziz juga seorang yang gemar membaca dan beliau menulis banyak kertas kerja daripada pelbagai bidang yang telah diterbitkan.

Malahan pada 2011, sewaktu merasmikan Arkib Digital Universiti Malaya Memory, beliau berkata, penuntut institusi pengajian tinggi perlu menjadikan tabiat membaca, meminjam buku dan berulang-alik ke perpustakaan sebagai satu kebiasaan dan bukan hanya untuk lulus peperiksaan semata-mata.

Tegasnya, itu penting kerana kalau hendak menjadi bijak, mestilah selalu membaca buku kerana tiada cara lain yang boleh menggantikan cara ini dalam menambah ilmu.

“Semasa belajar di peringkat sekolah, saya banyak meminjam buku di semua perpustakaan yang dilawati. Malah, semasa saya bergelar penuntut dan juga pensyarah, saya dan kawan-kawan masih suka meminjam pelbagai jenis buku dan yang paling saya minat ialah buku politik dan sejarah.

“Saya sedih melihat penuntut kini hanya membaca buku untuk lulus periksa, malah ada juga yang menggunakan isi buku untuk diplagiat bagi menyiapkan tugasan dan bukannya untuk menambah ilmu pengetahuan,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN