fbpx
RAIN berkahwin dengan Gideon pada Jun tahun ini. – CATERS NEWS AGENCY

Wanita jatuh cinta, kahwin beg bimbit

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MOSCOW – Seorang wanita yang tertarik secara seksual kepada benda tidak bernyawa bertindak mengahwini sebuah beg bimbit di ibu kota Rusia, Moscow baru-baru ini, lapor akhbar Mirror UK.

Wanita berusia 24 tahun tersebut, Rain Gordon berkata, dia pertama kali bertemu ‘suaminya’ yang diberi nama Gideon itu pada Ogos 2015. Rain membeli Gideon di sebuah kedai perkakasan sebagai perhia­san untuk sesi fotografi.

“Namun, lama-kelamaan saya jatuh cinta dengan Gideon. Kami mula bercinta pada November 2015 sebelum berkahwin Jun tahun ini.

“Gideon bukan sekadar pasangan, ia adalah suami, kawan dan mentor. Sokongan moral Gideon banyak membantu saya,” katanya.

Rain berkata, dia mula tertarik kepada benda tidak bernyawa sejak berumur lapan tahun, malah mempercayai bahawa setiap benda mempunyai roh.

“Ketika di usia kanak-kanak dan remaja, saya jatuh cinta dengan tempat seperti pusat beli-belah yang baru dibuka.

“Saya tahu ia pelik dan di luar norma masyarakat, jadi saya tidak mendedahkan pera­saan saya kepada sesiapa pun,” katanya.

Tambah Rain, dia pernah menjalin hubungan dengan seorang lelaki selama dua tahun, namun mereka akhirnya berpisah kerana Rain lebih tertarik kepada benda tidak bernyawa.

“Saya bukan menolak hubungan cinta dengan manusia tetapi perasaan terhadap mereka kurang berbanding rasa cinta saya kepada Gideon.

“Saya pernah bercinta dengan seorang lelaki pada tahun 2017 tetapi hubungan kami tidak mampu bertahan kerana dia tidak dapat memahami pera­saan saya,” ujarnya.

Rain turut berkata, dia berharap agar masyarakat dapat memahami dan tidak memandang serong terhadap orang sepertinya. – Agensi