fbpx

Tiket bas RM34 dari Kelantan ke Lembah Klang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
EKSPRES Perdana menawarkan penurunan harga tiket sebanyak 23 peratus untuk perjalanan dari Kelantan dan Besut ke Lembah Klang bermula Khamis ini.

BACHOK – Syarikat pengendali bas, Kumpulan Perdana menawarkan penurunan harga tiket bas kepada RM34 bagi perjalanan dari Kelantan dan Besut ke Lembah Klang bermula Khamis ini.

Pengarah Urusan Kumpulan Perdana, Laili Ismail berkata, pengurangan harga tiket perjalanan itu dianggarkan sebanyak 23 peratus iaitu antara RM44 sehingga RM47 kepada RM34.

Menurutnya, tawaran itu akan terus dilaksanakan secara berterusan sehingga Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) ditamatkan di negara ini.

Katanya, sebanyak 50 perjalanan pergi balik ditawarkan setiap hari dengan melibatkan laluan ke Shah Alam, Kajang, Puchong dan Klang.

“Kesemua perjalanan itu membabitkan tiga syarikat bas ekspres di bawah Kumpulan Perdana iaitu Ekspres Perdana, Lienadia Ekspres dan Darul Iman Ekspres.

“Usaha ini bagi meringankan beban orang ramai yang rata-ratanya terkesan berikutan penularan wabak Covid-19 termasuk penumpang yang dibuang kerja dan mereka yang ingin ke Lembah Klang bagi mencari pekerjaan baharu,” katanya.

Beliau berkata demikian sewaktu menghadiri Majlis Program Prihatin Perdana 4.0 di Pejabat Urusan Ekspres Perdana di Teluk Mesira di sini hari ini.

Terdahulu, beliau menyampaikan keperluan asas dan sumbangan berupa wang tunai kepada 284 kakitangan Kumpulan Perdana yang terjejas akibat penularan wabak Covid-19 baru-baru ini.

Menurut Laili, syarikat itu melakukan penurunan harga tiket selepas pihak bank membenarkan lanjutan moratorium kepada pengusaha bas ekspres.

Katanya, sewaktu tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac lalu, syarikat itu terpaksa menanggung kerugian mencecah sehingga RM8 juta.

Ujarnya, meskipun syarikat mengalami masalah kewangan, semua kakitangan tidak diberhentikan malah mereka hanya diarah bercuti tanpa gaji.

“Bagaimanapun, kesemua pekerja sudah dipanggil semula untuk bertugas sejak Khamis lalu.

“Kita menjangkakan tempoh masa selama dua tahun untuk menampung semula kerugian yang dialami semasa PKP tempoh hari.

“Diharap kerajaan dapat membenarkan semula pelajar di institut pengajian tinggi pulang ke kampus masing-masing dalam usaha untuk merancakkan kembali perkhidmatan bas ekspres,” katanya. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI