SIAPA angka walaupun sudah berusia emas, sepasang suami isteri ini gigih mempelbagaikan produk daripada madu kelulut hanya melalui media sosial Facebook sejak lebih empat tahun lalu.
Mohd. Zaki Lasim, 71, yang merupakan seorang pesara polis berpangkat Sarjan dan Rozinah Abu Bakar, 61, yang merupakan pesara swasta kini mengisi rutin harian sejak awal pagi mereka untuk melihat ragam lebah kelulut betina mencari nektar pada pokok yang ditanam di sekeliling rumah mereka.
Menurut Zaki, mereka kini memiliki lebih 80 ‘rumah’ kelulut. Dua jenis kelulut ‘kampung’ iaitu Heterotrigona itama dan juga Geniotrigona thoracica menjadi pilihan mereka untuk diternak.
Antara produk dihasilkan daripada madu kelulut yang diternak di halaman rumah dihuni mereka itu ialah minuman botani, minyak propolis, sabun dan juga coklat.
“Ikutkan ada banyak jenis kelulut tapi kami pilih dua jenis sahaja untuk diternak. Batang pokok yang mengandungi kelulut ini tak susah nak dicari dan kami dapatkan daripada pencari kelulut serta Orang Asli antaranya pokok rambutan, durian dan kelapa.
“Kami memilih kelulut kampung berbanding kelulut hutan kerana persekitaran rumah lebih sesuai buat kelulut kampung menghasilkan lebih banyak lagi madu,” katanya kepada Panorama di rumahnya di Taman Ternakan Lebah Kelulut, Bukit Chengkih, Legung Ulu, Negeri Sembilan.

Tambahnya, rumah kelulut dibeli sekitar RM150 hingga RM200 daripada penjual antaranya Orang Asli, namun kini harganya mampu mencecah antara RM400 hingga RM700 bergantung kepada jenis kelulut.
Bimbingan RISDA
Zaki menambah, selain pemilihan kelulut yang tepat, mereka suami isteri juga banyak menanam pokok baik pokok bunga mahupun sayur-sayuran bagi memberi banyak pilihan sumber nektar buat kelulut menambah penghasilan madu.
Menurutnya, atas sebab itulah landskap rumahnya dipenuhi dengan pelbagai jenis tumbuhan seperti pokok air mata pengantin, akar dhani, ros jepun dan lain-lain lagi.
“Malah, bunga lada, bunga sawi dan bunga pokok belimbing pun kelulut suka. Jadi, kami suami isteri perbanyakkan lagi pokok seperti ini di sekeliling rumah bagi memastikan bekalan madu sentiasa ada.
“Madu banyak dihasilkan dari bulan Februari hingga Jun. Pada masa itu kalau sekali tuai sahaja dalam tempoh dua minggu, kami boleh dapat 10 ke 20 kilogram madu,” ujarnya.

Menurutnya, pada bulan lain, penghasilan madu berkurangan berkemungkinan pada masa tersebut bukan musim pokok untuk menghasilkan bunga.
Tambah Zaki, dia tidak menyangka pengetahuan di usia emasnya tentang ternakan kelulut telah melorongkan rezeki buat mereka sekeluarga.
Menurutnya, selepas tamat berkhidmat sebagai polis di Cawangan Khas, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tampin pada tahun 1999, dia telah berjinak-jinak menternak ayam dan juga cendawan tiram, namun, kedua-duanya tidak mendatangkan hasil memberangsangkan seperti mana ternakan kelulut.
“Kami sebelum ini tak tahu langsung apa itu kelulut, namun mula menyertai kursus yang dianjurkan Jabatan Pertanian pada tahun 2015 selepas ada individu memberi petua kesihatan kepada isteri saya melalui gabungan pelbagai bahan semula jadi seperti bawang dan juga madu kelulut,” jelasnya.
Menurut Zaki, modal permulaan bernilai puluhan ribu ringgit bagi projek ternakan kelulut mereka diperoleh daripada modal sendiri sebelum mereka mendapat bantuan modal rentetan terpilih menjadi Usahawan Bimbingan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA).
“Lebih RM60,000 juga RISDA hulurkan bantuan untuk kami memiliki aset seperti mesin bagi memproses madu, bengkel dan lain-lain lagi,” katanya.
Kajian
Menurutnya, secara puratanya sebanyak 15 kilogram (kg) madu terhasil dalam sebulan dan tahun ini, penghasilan tertinggi dicatatkan pada bulan April iaitu sebanyak 35 kg.
“Menurutnya, kebiasaannya mereka mampu menjual sekitar 20 hingga 50 botol madu dengan dua saiz iaitu 125 mililiter (ml) dan 200ml,” katanya.

Bagi Rozinah pula, dia tidak menduga pengalamannya dimasukkan ke Hospital Tampin pada tahun 2015 kerana sakit telah membuka pintu rezeki mereka suami isteri.
“Bukan hanya rezeki dalam bidang keusahawanan tetapi jauh lebih baik lagi rezeki diberikan kesihatan yang baik. Malah, saya juga berasa lebih aktif dan kurang penat,” katanya.
Menurutnya, mereka bukan hanya mempromosikan produk madu kelulut melalui penyertaan dalam karnival keusahawanan di seluruh negara, bahkan kediaman mereka juga dikunjungi banyak pihak yang mahu membuat kajian mengenai ternakan kelulut.
“Malah, delegasi ASEAN melalui RISDA juga telah dibawa ke sini untuk melihat ternakan lebah kelulut kami, selain pensyarah serta pelajar dari pelbagai universiti tempatan untuk membuat kajian,” katanya.
Menurutnya, pengetahuan yang ada mereka kongsikan dan berharap akan memberi manfaat kepada lebih ramai lagi individu yang mengalami pelbagai masalah kesihatan.
“Memang banyak khasiat, hanya yang pernah merasainya akan mengetahui khasiat itu,” ungkapnya.

Rozinah berkata, ada juga permintaan daripada individu untuk mendapatkan ‘roti lebah’ iaitu campuran debunga, madu dan juga air liur lebah.
“Khasiatnya sangat tinggi antaranya sebagai sumber makanan bagi awet muda,” katanya.
Rozinah menerangkan, kelulut sama ada betina mahupun jantan hanya mampu hidup sekitar 30 hingga 90 hari berbanding ratu yang boleh hidup antara lima hingga tujuh tahun.
“Yang mencari sumber nektar pula ialah kelulut betina manakala kelulut jantan menemani ratu. Kelulut yang hampir di hujung hayat kebiasaannya akan menjaga saluran masuk rumah bagi kelulut yang bekerja mencari nektar.

Menurutnya, mereka menyimpan hasrat untuk menjadikan Taman Ternakan Lebah Kelulut Bukit Chengkih sebagai salah satu lokasi pelancongan di negeri ini, namun masih belum tercapai.














